Iklan

Pakatan sudah lupakan pengundi Cina, kata pegawai khas PM

Melati A. Jalil7 years ago10th Dec 2017Berita
Voters epa 10 dis
Pemilihan Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri menjadi bukti Pakata Harapan memperlekehkan pengundi Cina yang selama ini menjadi penyokong kuatnya. – Gambar EPA, 10 Disember, 2017.
Iklan

BARISAN kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan pembangkang memperlekehkan pengundi Cina, kata pegawai khas perdana menteri kepada pemimpin Cina dalam satu forum tertutup.

Pegawai khas kepada perdana menteri, Isham Jalil mempersoalkan mengapa PH memilih kedua-duanya sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri sedangkan DAP merupakan parti paling dominan.

“Parti mana yang dominan dalam PH? DAP. Komuniti mana yang mengundi PH sebelum ini? Ia orang Cina. Jadi mengapa mereka menamakan Dr Mahathir?

“Adakah mereka ambil peduli tentang pengundi Cina? Mereka hanya mahu menarik pengundi Melayu, PH sudah lupa tentang anda.

“Mereka berfikir undi Cina sudah selamat. Undi Cina terutama di Selangor mudah, sudah selamat,” kata Isham dalam forum yang diadakan pada Jumaat lalu.

The Malaysian Insight menyaksikan rakaman ucapan Isham itu yang terdiri daripada dua video pendek.

Sesi dengan Isham itu difahamkan adalah kerjasama dengan calon Gerakan untuk Bukit Lanjan, Syed Abdul Razak Alsagoff yang diadakan di ibu pejabat Gerakan Selangor di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Naib Presiden Gerakan Dr Dominic Lau mengesahkan penceramah pada sesi tertutup itu adalah pegawai khas kepada Perdana Menteri Najib Razak, yang dikenali sebagai Isham Jalil.

Isham juga berkata Dr Mahathir yang mengawal PH, walaupun terdapat beberapa pemimpin BN sebelum ini berkata DAP merupakan dalang utama bagi gabungan parti pembangkang itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak sebelum ini berkata tindakan veteran DAP Lim Kit Siang yang lalu menunjukkan parti itu adalah pemimpin de facto dalam pembangkang.

Memandangkan kerusi majoriti yang dimiliki DAP berbanding yang lain dalam pakatan pembangkang, Salleh berkata parti itu akan menentukan apa yang berlaku dalam PH, sambil menambah “kerjasama” dengan Bersatu semata-mata untuk memberikan wajah Melayu kepada pengundi Melayu sedia ada.

Bagaimanapun, fakta ini ditolak oleh Isham pada forum itu.

“Sekarang, saya ingin bertanya sesuatu, adakah anda fikir boleh meminta Dr Mahathir menjadi boneka anda? Beliau adalah pemain boneka, bagaimana anda boleh meminta pemain boneka menjadi boneka? Ia tidak masuk akal.

“Beliau adalah perdana menteri selama 22 tahun. Beliau menggunakan orang ... anda mahu meletakkannya sebagai proksi anda, beliau akan menggunakan anda demi kepentingannya,” tambah Isham. – 10 Disember, 2017.

Iklan
Iklan