Iklan

Amanah yakin penyokong PAS tidak akan undi calon BN 

Elill Easwaran4 years ago26th Aug 2020Berita
Sala
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata penyokong PAS di kawasan Slim belum pernah mengundi BN pada pilihan raya sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2020.
Iklan

PEMIMPIN Amanah yakin penyokong PAS di Slim tidak akan mengundi calon Barisan Nasional Mohd Zaidi Aziz pada pilihan raya kecil Sabtu ini.

Menurut mereka, kerusi negeri Perak akan menguji sokongan daripada pengundi PAS kepada BN walaupun pemimpin mereka bergabung dengan BN dalam Muafakat Nasional.

“Pilihan raya kecil ini akan menguji sama ada pengundi PAS akan mengundi calon BN kerana mereka belum pernah berbuat demikian di sini sebelum ini,” kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub pada sidang media di Slim hari ini.

Beliau berkata Slim pernah menjadi kerusi yang ditandingi PAS namun kini ia diberikan kepada BN selepas parti Islam itu menyertai Muafakat.

PAS mengumumkan sokongannya terhadap calon BN Mohd Zaidi, yang akan berdepan pertandingan tiga penjuru dengan calon bebas yang disokong Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 dan calon bebas S. Santhasekaran, 44.

Amir bertanding sebagai calon bebas kerana partinya, Pejuang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

“Kami akan pastikan sokongan penuh diberikan kepada Amir sebagaimana sokongan yang diberikan kepada Bersatu pada piihan raya 2018,” kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi yang turut hadir pada sidang media itu.

Amanah merupakan pecahan daripada PAS selepas pemimpin mereka keluar daripada parti Islam itu yang berpecah daripada DAP dan PKR di bawah gabungan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, beliau terkejut apabila ramai penyokong PAS berumur 50 tahun ke atas memberitahunya mereka merancang untuk menyokong Amir.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata ada dalam kalangan penyokong PAS yang tidak dapat menerima hakikat parti itu kini bekerjasama dengan BN selepas ia menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perak pada 2009. PAS yang bersama Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri ketika itu.

Turut hadir pada sidang media itu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, dan seorang lagi bekas pemimpin PAS dan bekas ketua menteri Melaka, Adly Rahman.

Hari mengundi pilihan raya kecil Slim dijadualkan Sabtu ini. Kerusi itu kosong pada 15 Julai berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 yang merupakan Adun BN. – 26 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan