Iklan

Polis rakam kenyataan Khairuddin petang ini

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago27th Aug 2020Berita
Khairuddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali akan ke Bukit Aman jam 5 petang ini bagi kes melanggar arahan kuarantin wajib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.
Iklan

POLIS akan merakam keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali, kira-kira jam 5 petang ini bagi kes melanggar arahan kuarantin wajib.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Khairuddin akan hadir ke Bukit Aman petang ini.

“Pada mulanya, beliau dijadualkan memberi keterangan di Bukit Aman petang semalam, tetapi kemudian ditukar ke Parlimen.

“Bagaimanapun proses berkenaan tidak dapat dijalankan di Parlimen, disebabkan itu dia dipanggil ke Bukit Aman semula hari ini.

“Dia akan datang selepas waktu pejabat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Menteri PAS itu disiasat kerana didakwa tidak menjawali kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari dari Turki pada 7 Julai lalu.

Polis membuka siasatan selepas menerima sekurang-kurangnya 27 laporan di seluruh negara berhubung kes itu.

Kementerian Kesihatan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun pada 7 Ogos dan menteri itu sudahpun menjelaskannya.

Bagaimanapun kementerian itu menyerahkan kepada polis untuk siasatan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menegaskan tiada siapa terlepas daripada undang-undang.

Beliau menegaskan demikian walaupun tindak-tanduk Khairuddin itu dipertahan pemimpin PAS.

Antaranya, Timbalan Presiden parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan tindakan Khairuddin itu tidak mencetuskan kluster jangkitan baharu.

Tindakan Khairuddin melanggar perintah kuarantin itu mencetus cemuhan dan kritikan orang ramai yang membandingkannya dengan tindakan keras dikenakan ke atas individu lain bagi kesalahan sama.  – 27 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan