Iklan

Mukhriz sahkan anak perempuan, menantu ditahan langgar PKPP 

Elill Easwaran4 years ago27th Aug 2020Berita
Mukhrriz
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata beliau kecewa dengan anak dan menantunya yang melanggar PKPP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.
Iklan

MUKHRIZ Mahathir mengesahkan anak perempuan dan anak menantunya ditahan dan didenda RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Presiden Pejuang itu berkata beliau kecewa dengan pasangan terbabit yang ditahan pihak polis ketika serbuan di sebuah pub di ibu negara.

Menurutnya, mereka memang patut dikenakan denda RM1,000.

“Saya sudah nasihatkan keluarga saya, ketika pemulihan PKP jangan langgar peraturan kerana kita perlu tunjukkan contoh yang baik.

“Sudah tentu saya kecewa kerana mereka langgar juga walaupun sudah diingatkan. Mereka memang patut dikenakan kompaun,” katanya kepada pemberita selepas sesi ceramah di Felda Besout.

Walaupun Pejuang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Slim, parti itu menghantar calon Bebas Amir Khusyairi Mohd Tanusi sebagai calon. 

Bekas menteri besar Kedah itu berkata beliau juga gembira kerana pihak berkuasa tidak berikan diskaun atau kelebihan kepada pasangan berkenaan. 

“Denda RM1,000 yang dikenakan kepada mereka tanpa diskaun tidak seperti yang lain. Saya bersyukur tiada diskaun sebab jika diberikan akan ada berita yang mengatakan saya campur tangan dalam proses itu.

“Pada masa yang sama, kita juga bersyukur mereka tidak diberikan kompaun lebih tinggi kerana itu boleh jadi hukuman,” kata Mukhriz.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata anak perempuan seorang kenamaan antara 29 individu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pub di Taman Tun Dr Ismail awal pagi Ahad lepas.

Dalam serbuan pada 1.20 pagi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, dipercayai pengurus pub serta seorang lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita Filipina yang disyaki pekerja premis.

“Anak kenamaan itu antara 20 lelaki dan sembilan wanita tempatan yang dipercayai pengunjung premis dan telah berada di premis tersebut melebihi had masa yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya. – 27 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan