Zuraida tak terlibat kontrak rundingan terus kementerian, kata pegawai
Iklan
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tidak terlibat sama sekali dengan kontrak rundingan terus di bawah kementerian itu semasa pentadbiran Pakatan Harapan, kata seorang pegawainya.
Setiausaha Politiknya Nor Hizwan Ahmad berkata kesemua perbincangan dan kelulusan projek itu dibuat Kementerian Kewangan di bawah menterinya ketika itu, Lim Guan Eng.
“Fakta yang tepat dan nyata adalah Zuraida langsung tidak terlibat sama sekali sama ada dalam hal rundingan, hal memberi kelulusan mahupun sebarang perbincangan berkenaan projek tersebut.
“Tiada satu pun yang melibatkan Zuraida. Ia diuruskan terus oleh Kementerian Kewangan yang ketika itu menterinya ialah Lim Guan Eng sendiri,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga pasti masih menyimpan semua dokumen berkaitan selain bukti kronologi proses pemberian projek tersebut.
Beliau menjawab kritikan Lim semalam yang menganggap Zuraida mungkin berbohong atau tidak menjalankan tanggungjawab kerana menyatakan tidak tahu menahu mengenai kontrak tersebut.
“Sama ada menteri pengkhianat ini bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan Langkah Sheraton hanya mereka yang tahu,” katanya semalam.
Perolehan rundingan terus di KPKT melibatkan kontrak perkhidmatan penyelenggaran sistem kewangan dan perakaunan Saga bernilai RM501,206.37 yang diberikan kepada Century Software (M) Sdn Bhd.
Projek kedua ialah cadangan membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara, di Kepong, Kuala Lumpur yang diberikan kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd. Kontrak itu bernilai RM170,294,400.
Kontrak itu kemudian diagihkan kepada Widad Group Bhd melalui anak syarikatnya Widad Builders Sdn Bhd dengan nilai RM120.03 juta.
Zuraida mendakwa tidak tahu menahu mengenai kontrak bernilai RM170.8 juta yang diberikan secara rundingan terus oleh semasa pentadbiran PH.
Zuraida yang menjadi menterinya pada masa itu kekal di kementerian sama selepas Putrajaya diambil alih oleh gabungan baharu Perikatan Nasional susulan percaturan politik pada hujung Februari lalu.
Kontrak itu menjadi kontroversi selepas pendedahan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengenai 101 kontrak kerajaan bernilai RM6.61 bilion yang didakwanya diberikan melalui rundingan terus di bawah PH.
PH bagaimanapun menegaskan jumlah sebenar projek rundingan terus hanyalah RM352 juta. – 28 Ogos, 2020.