Sia-sia ambil tindakan terhadap media, kata Goenawan
Iklan
TINDAKAN kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap mana-mana media merupakan perkara yang sia-sia, kata sasterawan Indonesia, Goenawan Mohamad.
Pengarang veteran majalah Tempo itu berkata, berdasarkan pengalamannya dalam bidang penulisan dan media, sebarang cubaan sedemikian selalunya gagal dan tidak menguntungkan pemerintah.
“Pengalaman (saya) di mana-mana, censorship tidak punya daya yang bertahan. Akan gagal pada akhirnya.
“Jadi, sia-sia saja kalau Parlimen (kerajaan) atau Umno merancang (sedemikian).
“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas tamatnya forum “Yang Berani Hidup” di Auditorium Muzium Alam Shah di Shah Alam, Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Salleh Said Keruak yang akan menyiasat portal berita The Malaysian Insight (TMI) selepas digesa oleh dua perwakilan Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 minggu lalu.
Salleh bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus akta mana akan digunakan untuk menyiasat TMI.
Awal hari ini, kumpulan wartawan Malaysia menggesa SKMM menjelaskan bukti dan alasan kukuh kenapa TMI perlu disiasat.
Kumpulan itu berkata, SKMM tidak menyediakan sebarang bukti untuk mempertahankan hujah bahawa TMI menghina perdana menteri.
“Salleh perlu nyatakan dengan terperinci siasatan yang dijatuhkan itu. Jika tidak, siasatan itu hanyalah tambahan kepada senarai panjang siasatan terhadap pelbagai portal berita di negara ini yang jelas membuka pekung bahawa negara ini menyekat kebebasan akhbar,” kata kenyataan itu hari ini.
Gesaan untuk menyiasat TMI dibangkitkan pertama kali oleh perwakilan Pulau Pinang Haliza Abdullah yang mendakwa TMI menerbitkan berita berbentuk “serangan” ke atas presiden mereka Najib Razak.
“Mereka terus menyerang perdana menteri kita secara individu atas kapasiti keperibadian Datuk Seri presiden.
“Saya berharap sebagai sebuah laman web yang berdaftar, pihak kerajaan terutamanya kementerian dan SKMM mengambil tindakan dan menyemak sama ada The Malaysian (Insight) ini beroperasi di bawah landasan undang-undang yang ada,” kata Haliza.
Sehari kemudian, perwakilan Johor Mohd Nashrol Hisham Abdullah turut membuat desakan yang serupa.
Nashrol berkata, ahli Umno sepatutnya berang dengan penghinaan ke atas presiden mereka.
“Jangan biar perkara ini berlaku. Pihak berwajib cari sampai lubang cacing. Kita kena marah kalau dia (TMI) hina pemimpin kita,” katanya.
Kedua-dua perwakilan tersebut bagaimanapun tidak menyebut mana-mana laporan dari TMI yang dianggap menghina perdana menteri atau pemimpin Umno.
Berikutan itu Salleh berkata, pihaknya akan menyiasat sekiranya The Malaysian Insight ada melanggar mana-mana undang-undang dalam laporannya yang didakwa menghina perdana menteri. – 10 Disember, 2017.