Umno sering guna taktik menakut-nakutkan pengundi, kata Pakatan
Iklan
UMNO atau Barisan Nasional (BN) sering menggunakan taktik “menakut-nakutkan” dalam usahanya untuk menarik minat pengundi, kata pemimpin pembangkang, mengulas kenyataan pembantu kepada perdana menteri bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah lupakan pengundi Cina.
“Kepada orang Melayu, mereka cakap ‘jangan percaya Pakatan Harapan sebab ia didominasi Cina (DAP)’. Kemudian kepada orang Cina, mereka cakap Pakatan Harapan dah lupakan mereka,” kata Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah.
“Penjelasan mereka kenapa mereka perlu laksanakan GST sebelum ini juga sama.
“Kepada orang Cina mereka kata GST ini bagus kerana kebanyakan orang Melayu yang tak bayar cukai, sekarang kena bayar. Tapi kepada orang Melayu pula, mereka kata kebanyakan ahli perniagaan Cina yang tak bayar cukai, sekarang kena bayar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pegawai khas kepada perdana menteri, Isham Jalil dalam satu forum tertutup bersama pemimpin pusat daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen Bukit Lanjan berkata barisan kepimpinan PH yang terdiri daripada Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan pembangkang memperlekehkan pengundi Cina.
Beliau mempersoalkan mengapa PH memilih kedua-duanya sebagai perdana menteri sementara dan timbalan perdana menteri sedangkan DAP merupakan parti paling dominan.
Sesi yang diadakan pada 8 Disember itu difahamkan adalah kerjasama dengan calon Gerakan untuk Bukit Lanjan, Syed Abdul Razak Alsagoff yang diadakan di ibu pejabat Gerakan Selangor di Bandar Utama, Petaling Jaya.
“Saya percaya rakyat tak bodoh. Mereka boleh menilai sendiri,” kata Saifuddin.
Sementara itu, Hannah Yeoh (DAP) berkata Umno/BN akan sentiasa menggunakan isu agama dan kaum untuk menyembunyikan kelemahan tadbir urus dan rasuah.
“Ianya jelas. Utusan kata PAS ‘diperkudakan’ DAP, MCA kata DAP beri kuasa kepada PAS semasa zaman Pakatan Rakyat,” katanya merujuk kepada lidah Umno, Utusan Malaysia.
“Umno tak ada apa-apa untuk ditawarkan, jadi mereka akan mainkan isu agama atau kaum.
“Mereka berharap dengan cara ini rakyat akan lupa dan maafkan mereka. Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama patut mendapat pemerintahan yang lebih baik dan bersih, dan ini Umno tak boleh beri,” katanya.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, Isham hanya mendedahkan keadaan sebenar dalam BN, iaitu mereka memerlukan pengundi Cina untuk menyokong mereka.
“Dia bercakap tentang masalah sebenar yang mereka harus atasi, majoriti bukan Melayu sokong PH, jadi mereka perlu cari jalan supaya bukan Melayu kembali kepada BN dan ini dilakukan dengan berkata apa yang berlaku kepada kepimpinan Cina dan bukan Melayu dalam PH?
“Mereka juga cuba mengatakan yang Dr Mahathir hanya menggunakan anda sebab dia adalah dalang” katanya.
Isham juga berkata Dr Mahathir yang mengawal PH, walaupun terdapat beberapa pemimpin BN sebelum ini berkata DAP merupakan dalang utama bagi gabungan parti pembangkang itu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak sebelum ini berkata tindakan veteran DAP Lim Kit Siang yang lalu menunjukkan parti itu adalah pemimpin de facto dalam pembangkang.
Memandangkan kerusi majoriti yang dimiliki DAP berbanding yang lain dalam pakatan pembangkang, Salleh berkata parti itu akan menentukan apa yang berlaku dalam PH, sambil menambah “kerjasama” dengan Bersatu semata-mata untuk memberikan wajah Melayu kepada pengundi Melayu sedia ada.
Pada perhimpunan agung Umno yang berakhir semalam, pemimpin akar umbi Umno juga percaya Dr Mahathir kini memimpin PH hanyalah boneka DAP yang menjadi alat DAP. – 10 Disember, 2017.