70% bekalan air dijangka pulih pada Isnin, kata MB Selangor
Iklan
PENGGUNA yang terjejas dengan gangguan bekalan air akan mula menerima semula bekalan secepat-cepatnya hari ini, tetapi kerajaan negeri berkata ia akan mengambil masa dua hari lagi untuk 70% bekalan air pulih sepenuhnya.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata usaha menstabilkan sistem pengaliran bekalan air sedang giat dilakukan.
Katanya, mereka memerlukan antara 24 jam sehingga 48 jam bagi membolehkan 70% bekalan air pulih kepada normal.
“Kami sedang berusaha bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera kerana ia sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat,” katanya pada sidang media di Air Selangor, hari ini.
Air Selangor dalam kenyataan sebelum ini berkata bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi 9 September.
Lebih daripada 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada Khamis apabila empat loji rawatan air terpaksa ditutup kerana pencemaran sungai berpunca daripada kilang di Sungai Gong, Rawang.
Kilang punca pencemaran dikenalpasti sebagai Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd yang mengendalikan jentera berat. Mereka dipercayai membuang sisa minyak secara terus ke dalam sungai sehingga menyebabkan pencemaran.
Empat beradik pemilik kilang itu ditahan polis malam tadi dan direman enam hari untuk membantu siasatan. – 5 September, 2020.