Iklan

Kilang cemar sungai diarah tutup, kosongkan tanah

Diyana IbrahimElill Easwaran4 years ago5th Sep 2020Berita
Water disruption 20200905 hasnoor 005
Kilang yang disyaki terlibat dalam gangguan bekalan air terbaru ke Lembah Klang dikenal pasti sebagai kilang penyelenggaraan mesin berat milik Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 September, 2020.
Iklan

KILANG yang mencemarkan sungai sehingga memutuskan bekalan kepada lebih sejuta pengguna di Selangor diarah ditutup dan mengosongkan tanah yang diduduki, kata Amiruddin Shari.

Menteri besar berkata syarikat tersebut melanggar undang-undang kerana tidak memiliki kebenaran merancang di tanah tersebut bagi membina kilang berkenaan.

Jelas beliau arahan itu selaras dengan Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang akan diserahkan kepada pemilik tanah kilang membaiki jentera berat itu.

“Kita arahkan pemilik untuk pulihkan tanah, kena robohkan bangunan dan operasinya. Paling tidak dalam tempoh tiga hingga empat bulan kita akan tutup sebelum kita pastikan tempat berkenaan betul-betul selamat.

“Kita akan semak segenap mungkin, mereka sudah menyusahkan 1.197 juta pemegang akaun di seluruh negara.

“Pada Isnin, pejabat tanah akan keluarkan notis 7A yang meminta kilang berkenaan mengambalikan peranan asal tanah tersebut,” katanya dalam sidang media di ibu oejabat Pengurusan Air Selangor.

Kilang yang disyaki terlibat dalam gangguan bekalan air terbaru ke Lembah Klang dikenal pasti sebagai kilang penyelenggaraan mesin berat milik Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd.

Siasatan mendapati sisa buangan dan minyak jentera terpakai dari kilang tidak disimpan dengan betul tetapi dibiarkan mengalir masuk ke sungai.

Kilang yang sama juga didenda pernah RM60,000 pada awal tahun ini kerana kesalahan pencemaran namun tidak dikenakan tindakan lain kerana tiada bukti mencukupi.

Kilang yang jadi punca pencemaran kini diarah tutup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 September, 2020.

Polis malam tadi menahan empat beradik yang merupakan pemilik kilang dan akan mendapatkan perintah reman untuk mereka hari ini.

Lebih 1.2 juta pengguna tiada bekalan air sejak Khamis di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran itu berlaku di Sungai Gong di Rawang, yang mengalir ke Sungai Selangor. Ia menjadi sumber untuk empat loji rawatan yang membekalkan air kepada pengguna Lembah Klang.

Jelasnya kerajaan negeri juga mengkaji aspek lain yang boleh dibuat dalam usaha memanjangkan tempoh penutupan premis.

Katanya ketika ini kerajaan negeri hanya dapat mengenakan tindakan mengikut peraturan Notis 7A memadangkan status tanah tersebut yang merupakan tanah persendirian.

“Biasanya dalam tempoh tiga hingga empat bulan jika pemilik masih tak robohkan kita akan robohkan.

“Dan selepas ini kalau ada apa- apa permohonan Majlis Perbandaran Selayang akan tengok dulu sesuai atau tidak.

“Tapi macam mana pun, kita akan tengok juga segenap kemungkinan untuk pastikan kilang tak beroperasi sebab mereka menyusahkan 1.197 juta pengguna,” katanya. – 5 September, 2020.

Iklan
Iklan