Penasihat antarabangsa Anwar mahu jumpa Najib dan Zahid
Iklan
PENASIHAT undang-undang Anwar Ibrahim, Kimberly Motley mahu berjumpa Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kesihatan Ketua Umum PKR itu, selain menuntut Anwar dibebaskan dari penjara dengan segera.
“Saya harap dapat duduk dan berbincang dengan mereka (Najib dan Zahid) mengenai tahap kesihatan Anwar.
“(Selain itu) saya harap dapat berjumpa Najib dan timbalan perdana menteri untuk berbincang mengenai ketidakadilan terhadap Anwar.
“Saya merasakan beliau sepatutnya dibebaskan tanpa sebarang syarat (unconditionally). Beliau dimasukkan ke dalam penjara atas sebab yang tak sepatutnya,” kata Motley dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Sejak 2015, Anwar telah dipenjara untuk tempoh lima tahun kerana didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadinya.
Tambah Motley, sebelum ini beliau tidak dibenarkan melawat Anwar, namun setelah beberapa ketika, atas kebenaran Zahid, barulah beliau dibenarkan melawat anak guamnya itu.
Menurutnya lagi, memandangkan Najib sebelum ini menunjukkan “minat” mengenai kesihatan Anwar dengan melawatnya di hospital, perdana menteri itu juga sepatutnya tahu jenis rawatan yang terbaik buat Anwar.
“Jadi, saya nak memaklumkan mengenai progress perubatan beliau dan apa yang diperlukan beliau,” katanya.
Pada 17 November lalu, Najib dan isterinya Rosmah Mansor melawat Anwar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Lawatan Najib dan isterinya Rosmah Mansor itu disusuli kunjungan Zahid dan kemudiannya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz.
Pada 22 September lalu, Anwar terlibat dalam kemalangan apabila kereta pengiring terlanggar bahagian kereta yang dinaikinya.
Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjalani pembedahan itu berikutan kecederaan di bahu kanan semakin teruk akibat kemalangan yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.
Beliau ketika itu dalam perjalanan dari HKL untuk pulang dari penjara.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua dan anak Anwar, Nurul Nuha yang hadir dalam sidang media itu turut menyuarakan perkara yang sama. – 11 Disember, 2017.