Polis cadang Sosma tangani kes pencemaran berulang
Iklan
AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma wajar digunapakai bagi kesalahan berkaitan alam sekitar yang berulang atau melibatkan unsur sabotaj, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya, pihak polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mencadangkan penggunaan akta berkenaan dalam mesyuarat bersama peguam negara semalam.
“Antara yang dicadangkan adalah menggunakan Sosma bagi kesalahan alam sekitar yang mempunyai unsur sabotaj dan berulang.
“Kesalahan itu juga dicadangkan untuk diklasifikasikan sebagai jenayah terancang,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini..
Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai status siasatan kes pencemaran di Sungai Gong di Rawang, Selangor, yang menyebabkan gangguan bekalan air selama lima hari di Lembah Klang sejak Khamis lalu.
Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh daerah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Gangguan bekalan air berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas untuk membersihkan kesan pencemaran.
Gangguan yang melibatkan tujuh daerah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, pulih sepenuhnya pagi ini, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Polis menahan reman empat lelaki selama enam hari berakhir esok selepas disyaki terlibat dalam insiden pencemaran di Sungai Gong.
Mereka adalah pemilik kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau. Kilang berkenaan sudah ditutup dan disita oleh pihak berkuasa kerajaan Selangor.
Sementara itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengumumkan membuka siasatan kemungkinan wujud jenayah rasuah melibatkan agensi penguatkuasa.
Dalam pada itu, mengulas cadangan supaya dibentuk satu unit jenayah alam sekitar, Hamid berkata, pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan dan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Namun sekiranya diluluskan, PDRM memohon untuk pertambahan jawatan, tidak ada masalah bagi kami untuk menerima tugasan itu.
“Buat masa ini kita sudah pun memberikan komitmen bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), menjalankan tugas-tugas mencegah penyeludupan ia membabitkan ramai warga PDRM dan beban tugas bertambah.
“Sekiranya, cadangan itu diluluskan KDN, saya mohon perjawatan tambahan,“katanya. – 9 September, 2020.