Polis rakam keterangan tentera kes anggota mati dipercayai terjun bangunan
Iklan
POLIS sudah merakam keterangan beberapa anggota tentera bagi menyiasat kematian anggota tentera Abdul Aziz Aznam yang meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga kediaman Kem Majidee di Batu Pahat, Johor pada 29 Ogos lalu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Aziz, 20, meninggal dunia pada Ahad lalu, sembilan hari selepas dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nora Ismail akibat cedera parah di kepala dan badan.
Keluarganya mendakwa beliau pernah mengadu tidak tahan didera semasa berada di kem itu.
Menurut Hamid polis menyiasat seluruh aspek kes termasuk detik kejadian sebelum mangsa terjun bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur ugutan, tekanan atau penderaan.
“Setakat ini, pihak polis telah memanggil beberapa saksi yang terdiri daripada anggota tentera di kem sama untuk membantu siasatan kes termasuk detik sebelum mangsa terjun.
“Kita rakam percakapan mereka untuk tahu adakah mangsa bertindak sedemikian kerana takut atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.
Ahli keluarga Aziz juga mahu siasatan dijalankan dengan adil, setelah mangsa sebelum ini mengadu tidak tahan didera, malah pernah juga menyuarakan hasrat mahu berhenti daripada perkhidmatan dalam tentera.
Ahli keluarganya juga sebelum ini dilaporkan berkata beliau mendakwa pipinya digosok dengan berus besi sementara sering pula ditumbuk.
Aziz dilaporkan pulang ke rumah sejak enam bulan lalu dan pulang ke kem sehari sebelum kejadian, difahamkan untuk menguruskan proses tamat perkhidmatan.
Jenazah Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak, semalam. – 9 September, 2020.