Iklan

Pendaftaran automatik pengundi siap Julai tahun depan

Rantau early vote 20190409 hasnoor 003
SPR sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyiapkan sistem pendaftaran automatik pemilih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.
Iklan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dijangka melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang Julai tahun depan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Shabudin Yahaya kepada Dewan Negara hari ini.

Suruhanjaya itu bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menyiapkan sistem tersebut.

“SPR berharap dapat menyelesaikan semua komitmennya dalam jangka masa 18 hingga 24 bulan sejak pindaan RUU diluluskan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019,” katanya.

“Oleh itu, pelaksanaannya diharapkan selewat-lewatnya Julai 2021.”

Beliau menjawab pertanyaan Senator Ismail Yusop mengenai perkembangan terbaru pelaksanaan usia minimum pengundi baharu 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Terdapat 15 juta pengundi berusia lebih 21 tahun di negara ini tetapi terdapat juga 4.2 juta lagi, yang belum mendaftar.

Shabudin berkata, jumlah pengundi dijangka meningkat 6 hingga 7 juta lagi apabila usia mengundi lebih rendah dikuatkuasakan.

“Kita akan mempunyai hampir 22 juta pengundi pada 2021 apabila usia pengundi lebih rendah dilaksanakan,” katanya.

Shabudin berkata selain SPR, parti politik, kumpulan pendesak dan ketua isi rumah berperanan menanamkan kesedaran mengenai pengundian.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan usia mengundi pada 16 Julai tahun lalu.

Sepuluh hari kemudian, rang undang-undang itu diluluskan oleh senat dengan majoriti dua pertiga.

Justeru, Pilihan Raya Umum ke-15 bakal menyaksikan belia berusia 18 tahun diberi kebenaran mengundi dan mereka juga akan didaftarkan secara automatik apabila cukup umur. – 9 September, 2020.

Iklan
Iklan