Polis selesai siasat kes menteri PAS, kata Ketua Polis Negara
Iklan
POLIS sudah melengkapkan siasatan ke atas kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar peraturan kuarantin wajib, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara esok, katanya.
Abdul Hamid berkata kertas siasatan itu disiapkan selepas pihak polis mengambil keterangan daripada lebih 10 saksi.
“Kita telah merakam keterangan saksi yang terakhir semalam.
“Kita akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada Pejabat Peguam Negara esok untuk penelitian sebelum tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Polis pada 27 Ogos lalu mengambil keterangan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus di Bukit Aman, bersama tiga ahli keluarganya yang mengikuti perjalanannya ke Turki.
Mereka pulang ke Malaysia pada 7 Julai lalu.
Di bawah peraturan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang berkuat kuasa pada masa itu setiap individu yang masuk ke Malaysia dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib di rumah.
Khairuddin bagaimanapun dilapor tidak menjalani kuarantin sebalik hadir ke beberapa program sebagai menteri dan wakil rakyat, termasuk hadir ke sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.
Tindakan Khairuddin melanggar kuarantin wajib itu mendapat perhatian umum dan diulas oleh Kementerian Kesihatan hanya selepas bekas menteri portfolio yang sama Teresa Kok membangkitkannya di Dewan Rakyat pada 18 Ogos.
Pendedahan itu mencetuskan kemarahan ramai ketika rakyat biasa dilihat dikenakan hukuman penjara dan denda oleh mahkamah atas kesalahan sama.
Kementerian Kesihatan kemudian mengesahkan Khairuddin dikenakan kompaun RM1,000 pada 7 Ogos.
Khairuddin juga meminta maaf secara terbuka atas kesilapannya tidak mematuhi perintah kuarantin berkenaan serta memulangkan empat bulan gajinya sebagai menteri. Gaji antara Mei hingga Ogos itu beliau sumbangkan ke Tabung Bantuan Bencana Negara bagi Covid-19.
Bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun melihat gaji empat bulan itu tidak boleh menutup kesalahan Khairuddin. – 9 September, 2020.