Rais panggil Zahidi untuk mohon maaf berhubung isu Veveonah
Iklan
SPEAKER Dewan Negara Rais Yatim memanggil Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin untuk menjelaskan kenyataannya mengenai Veveonah Mosibin kepada Dewan dan membuat permohonan maaf.
“Selepas meneliti situasinya, kami bersetuju beliau datang ke Dewan ini untuk memberikan penjelasan dan meminta maaf kepada pihak yang berkenaan,” kata Rais.
“Jika beliau menolak untuk melakukannya, maka mungkin kita akan meneruskannya dengan merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan minggu depan,” tambahnya.
Senator Alan Ling Sie Kiong mengemukakan usul agar timbalan menteri itu dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.
Zahidi tidak hadir di Dewan Negara hari ini.
Minggu lalu Zahidi berkata pelajar Sabah, yang terpaksa bermalam di atas pohon untuk mendapatkan akses internet bagi mengambil peperiksaan dalam talian, berbohong mengenai peperiksaan itu dan hanya inginkan perhatian.
Sementara itu Ling memberitahu Dewan yang timbalan menteri menimbulkan salah faham Senat dengan kenyataan palsu.
Senator DAP meminta agar usul itu diluluskan kerana Zahidi masih belum meminta maaf walaupun berjanji akan melakukannya.
Bercakap kepada wartawan kemudian, Ling berkata sudah seminggu sejak Zahidi membuat kenyataan salah terhadap Veveonah tetapi “belum meminta maaf.”
“Untuk mempertahankan imej dan martabat Senat, kami ingin merujuknya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang akan disiasat sehingga perkara ini menjadi satu pengajaran,” kata Ling
Senator Ismail Yusop, Suresh Singh dan Liew Chin Tong yang hadir dalam sidang media itu berkata Zahidi harus membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari akan datang.
“Individu tertentu mendakwa DAP sengaja mempolitikkan isu ini tetapi ia bukan hanya politik, tetapi soal pendidikan dan akses Internet.
“Kita harus melihat masalahnya dan bukan saling menyalahkan,” kata Senator Suresh Singh. – 10 September, 2020.