Zahidi mohon maaf atas kenyataan isu Veveonah
Iklan
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin hari ini meminta maaf atas kenyataannya terhadap pelajar Sabah Veveonah Mosibin di Dewan Negara minggu lalu.
Menurutnya, kementeriannya berusaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan akses internet di luar bandar Sabah.
“Saya ingin memohon maaf, dengan keizinan Yang Dipertua, saya ingin membuat permohonan itu di dewan mulia ini kerana menimbulkan kekeliruan dalam hal adik Veveonah.
“Maaf juga kerana maklumat daripada wakil rakyat kawasan menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak,” katanya kepada Dewan Negara hari ini.
Zahidi mengeluarkan permohonan maaf itu sebelum memulakan ucapan menteri di Dewan Negara hari ini.
Speaker Dewan Negara Rais Yatim sebelum ini meminta Ahli Parlimen Padang Besar itu menjelaskan kenyataannya mengenai Veveonah kepada Dewan dan membuat permohonan maaf.
Zahidi menambah kenyataannya mengenai masalah internet di Pitas mungkin disalahertikan.
“Secara keseluruhan apa yang diungkapkan oleh adik Veveonah mencerminkan kekurangan di Kg Sipatalang yang memerlukan perhatian daripada kerajaan.
“Sebagai seorang ayah, saya merasa sangat berbahaya (memanjat dan) duduk di pokok pada waktu malam untuk liputan internet. Kita menasihatkan anak-anak untuk tidak melakukannya kerana takut mereka cedera,” katanya.
Beliau berkata Veveonah harus dipuji kerana tindakannya dalam membangkitkan kelemahan internet di kawasan berkenaan.
“Saya bertanggungjawab penuh dan kerajaan bersetuju bahawa masalah liputan internet ini harus diberi perhatian dan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata liputan internet sudah diperbaiki di kampung Veveonah dan kawasan di mana kejadian itu berlaku.
Malah katanya agak mencabar untuk mengekalkan kabel gantian di lokasi perkampungan terpencil.
Sementara itu Rais berkata Dewan telah menerima permohonan maaf Zahidi yang “ikhlas” dan tidak perlu merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
Senator Alan Ling Sie Kiong yang telah mencadangkan usul untuk merujuk Zahidi ke jawatankuasa itu awal hari ini menyambut baik permohonan maaf berkenaan dan menghargai tindakan itu. – 10 September, 2020.