Masih tiada permintaan ekstradisi Zakir Naik dari Malaysia, kata peguam
Iklan
MALAYSIA masih belum menerima sebarang permintaan dari India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, berdasarkan surat dari Jabatan Peguam Negara (JPN) kepada peguamnya.
Surat bertarikh 21 November dari Jabatan Pendakwaan Pejabat JPN kepada peguam Shaharudin Ali meminta wakil Zakir supaya merujuk kepada Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Kementerian Dalam Negeri untuk penjelasan lanjut.
JPN berkata Kementerian Dalam Negeri merupakan pihak berkuasa pusat bagi perkara yang berkait dengan ekstradisi.
“Untuk makluman anda, setakat ini kami tidak menerima sebarang permintaan ekstradisi rasmi dari kerajaan India melibatkan anak guam anda Dr Zakir Naik,” menurut surat yang dilihat The Malaysian Insight.
Shaharuddin hari ini memberitahu TMI surat JPN itu mengesahkan tiada sebarang arahan diterima dari kerajaan India mengenai ekstradisi Zakir.
Pada bulan lepas, Shaharuddin memberitahu TMI dia akan menulis kepada peguam negara dan ketua polis negara untuk memohon supaya dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini dari Wisma Putra atau kerajaan India mengenai anak guamnya.
Katanya, Zakir berhak diberikan segala peluang yang ada untuk menggunakan haknya di Malaysia sebelum dihantar ke India.
Dilaporkan India sedang memuktamadkan permohonan rasmi kepada Malaysia untuk Zakir diekstradisi bagi membolehkan dia dikenakan pertuduhan “mempromosikan kebencian antara kumpulan berbeza agama di India menerusi ucapan awam dan ceramah”.
Agensi anti keganasan India sudah menyediakan pertuduhan terhadap Zakir sementara pihak berkuasa India juga sudah menarik balik pasportnya pada Julai lalu atas syor dibuat Agensi Siasatan Negara India (NIA).
Zakir diberikan status penduduk tetap di Malaysia, lima tahun lalu.
Dalam rayuannya kepada Interpol, Zakir didakwa menulis agensi di India menyasarkannya secara tidak adil, hanya kerana dia beragama Islam, dan berkata semua ucapannya hanya menganjurkan keamanan dan dia menafikan terbabit mempromosikan keganasan atau jihad.
Zakir berkata dia menyampaikan ceramah Islam sejak 25 tahun lalu di beberapa negara, di mana dia dihormati dan dialu-alukan.
Katanya, agensi India melanggar hak kebebasannya untuk bersuara dengan mengharamkan NGO Islamic Research Foundation (IRF) yang diasaskan dan menghalangnya berceramah mengenai Islam.
Pada 8 November, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata Zakir akan dihantar pulang jika kerajaan India memohon ekstradisi.
Katanya, Zakir juga tidak melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan di Malaysia.
Zakir, 52, seorang doktor perubatan mencetuskan kontroversi menerusi pendirian ekstremnya di mana dia mengesyorkan hukuman mati kepada homoseksual dan golongan yang mengabaikan Islam, menurut laporan media.
Dia juga dikatakan diharamkan masuk ke UK. – 12 Disember, 2017.