Iklan

Jawatan tak sesuai kelulusan punca graduan menganggur, kata timbalan menteri

Graduan pekerjaan
Kelulusan atau keputusan CGPA yang rendah juga menyebabkan majikan kurang berminat untuk menggajikan graduan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.
Iklan

KETIDAKSEPADANAN antara bidang pengajian dengan keperluan dalam pasaran kerja dikenal pasti antara punca meningkatnya kadar pengangguran graduan dalam tempoh empat tahun lalu.

“Kerajaan telah mengenal pasti punca graduan gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim pada sidang Dewan Negara hari ini.

“(Antaranya) kegagalan kegagalan siswazah mendapat maklumat tentang kekosongan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan ataupun kursus dimiliki.”

Sesetengah siswazah juga memilih untuk memohon kerja berdasarkan lokasi tertentu dan mempunyai kemahiran insani (soft skill) yang rendah, tambah beliau.

Beliau juga berkata kelulusan atau keputusan CGPA yang rendah menyebabkan majikan kurang berminat untuk menggajikan graduan.

Menurut Awang, berdasarkan Laporan Statistik Siswazah seramai 145,800 graduan di negara ini menganggur pada 2016. Angka tersebut meningkat kepada 154,500 orang pada 2017, 161,300 (2018) dan 170,300 (2019).

Sebagai langkah menangani masalah pengangguran graduan, Awang berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pekerjaan Nasional (JKPN) pada 5 Jun 2020.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Idris Ahmad berkenaan statistik pengangguran dalam kalangan graduan antara 2015 sehingga Julai tahun ini. – 15 September, 2020.

Iklan
Iklan