Iklan

SPRM siasat salah guna kuasa kes ladang durian haram Raub

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago15th Sep 2020Berita
Durian
SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung penerokaan haram tanah kerajaan untuk dijadikan ladang durian di Raub, namun belum panggil peneroka terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.
Iklan

AGENSI antirasuah mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung penerokaan haram tanah kerajaan untuk dijadikan ladang durian di Raub namun menafikan memanggil peneroka terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata agensi itu tidak memanggil 50 pekebun durian itu seperti didakwa NGO yang menyokong peneroka itu.

Azam berkata kertas siasatan kes itu dibuka SPRM Pahang yang memfokuskan dakwaan salah guna kuasa berhubung penerokaan tanah secara haram itu.

“(Pekebun dipanggil) itu tidak betul, tidak tahulah siapa yang buat cerita. Setakat semalam, saya dilaporkan tidak ada panggilan kepada pekebun.

“Ini dilaporkan media tertentu, jadi saya sahkan kita belum ada lagi memanggil 50 pekebun ini,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

NGO Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) semalam mendakwa seramai 50 pekebun durian yang menjalankan operasi kebun mereka tanpa permit dipanggil ke pejabat SPRM Raub.

NGO itu mendakwa ia bagi memberi keterangan mengenai siasatan kes berkenaan.

Kenyataan itu dikutip agensi media tempatan semalam dan dilaporkan sebagai berita.

Azam ditemui pemberita hari ini selepas menyampaikan ucaptama pada forum bertajuk “Liabiliti Korporat: Adakah Anda Berisiko?”.

Peneroka dan NGO berkenaan berusaha mendapatkan geran ke atas tanah yang diteroka secara haram untuk mengeluarkan durian.

Samka yang antara lain digerakkan aktivis DAP berusaha mendapatkan pajakan dan hak ke atas tanah seluas 2,168 hektar di Raub selama 30 tahun dan juga tambahan 30 tahun lagi.

Samka memberi alasan peneroka tanah haram itu memberi keuntungan kepada negara dengan eksport durian digelar Musang King sejak bertahun-tahun lamanya.

Musang King yang merupakan sejenis kacukan dari beberapa varieti tempatan menerima permintaan tinggi antaranya dari China.

Satu lagi pihak berkepentingan dalam kes ini adalah syarikat Royal Pahang Durian.

Peneroka tersebut kini berlaga dengan syarikat itu yang ditubuhkan bagi mengekang pembukaan tanah haram untuk penanaman durian.

Royal Pahang Durian satu syarikat usaha sama melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang. – 15 September, 2020.

Iklan
Iklan