Isunya pengguna basikal tak diutama, kata aktivis
Iklan
AKTIVIS pengangkutan sikal menolak cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (Miros) yang mahu kenderaan itu didaftarkan seperti kenderaan lain untuk melindungi penunggang.
Seorang penggiatnya, Akmal Azfar Abdul Mutalib berkata Miros perlu menjelaskannya lebih banyak tetapi pada masa ini tidak melihat cadangan itu mengutamakan pengguna basikal.
Beliau juga berkata, isu sebenar adalah kegunaan jalan raya yang lebih mengutamakan kegunaan kereta bermotor sedangkan pengangkutan sebenarnya perlu mengutamakan rakyat.
“Mereka perlu pandang basikal dan penggunaan basikal secara serius.
“Selepas 30 hingga 40 tahun mengutamakan kereta di jalan raya, kita perlu sedar kita perlukan sistem pengangkutan yang menumpukan kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga kesal kerana kempen untuk keselamatan penggunaan basikal berpandukan dasar tersebut kini masih terhalang kerana kerajaan lebih melihat basikal sebagai alat sukan.
“Sekarang ini hampir semua persatuan hanya tumpukan kepada sukan berbasikal, dan bukan mewakili penunggang basikal yang sebagai contoh menggunakannya sebagai utiliti.
“(Mereka) banyak tumpu kepada kepentingan sukan berbasikal, berapa banyak pingat dimenangi dalam Olimpik dan sebagainya.
“Apabila kita mahu mohon daftar pertubuhan pengguna basikal, mereka kata bukan bawah kuasa (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) tetapi bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kelab sukan.”
Pada masa sama, Akmal juga menganjurkan supaya pengguna basikal dan kenderaan lain saling menghormati dan berkongsi penggunaan jalan untuk keselamatan.
“Penunggang basikal perlu belajar hormat pengguna jalan lain dan pengguna jalan lain juga perlu sedar terdapat penunggang basikal di atas jalan,” tambahnya.
Beliau turut membangkitkan satu lagi cadangan Miros didakwa bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna basikal – yang menghasilkan laluan basikal kontroversi di Kuala Lumpur.
Laluan bersimpang siur sepanjang 11 kilometer dan menggunakan laluan pejalan kaki itu siap dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2018 dengan wang rakyat sebanyak RM4 juta.
Namun ia bukan infrastruktur yang baik kerana tidak banyak digunakan penunggang basikal, kata Akmal.
“Apabila tak ada infrastruktur yang betul, memanglah penunggang akan gunakan jalan sama dengan kenderaan lain untuk perhubungan satu tempat ke tempat lain,” katanya.
Miros hari ini dilaporkan menyarankan basikal dilesenkan dan didaftarkan dengan nombor seperti kenderaan lain seperti kenderaan bermotor.
Ketua Pengarah Miros Khairul Anwar Abu Kassim dalam laporan Utusan Malaysia mendakwa ia dapat meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kemalangan maut.
“Miros sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan ia menjadi trend dan minat bagi kebanyakan masyarakat,” katanya seperti dilaporkan
Isu mengenai keselamatan pengguna basikal itu rancak diperbualkan di media sosial ekoran peningkatan penggunaan kenderaan itu sewaktu pandemik.
Ia selari dengan trend di bandar utama sedunia apabila lebih ramai memilih menggunakan basikal untuk meningkatkan tahap kesihatan dan mengelak bersesak dalam pengangkutan awam.
Ia menyebabkan penguasa bandar seperti di London, United Kingdom membuat kajian dan membina laluan khas untuk pengguna basikal.– 16 September, 2020.