Iklan

'Rakyat tak terdesak pun pilih Dr Mahathir sebagai PM'

Yasmin Ramlan7 years ago13th Dec 2017Berita
Umno general assembly 061217 tmiseth 04
Jamal (tengah) yang terkenal dengan pelbagai karenah dan kontroversi itu berkata, pemimpin Pakatan Harapan yang ada kepentingan peribadilah yang menamakan Pengerusi Bersatu itu sebagai calon perdana menteri sekiranya menang pilihan raya umum ke-14 nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Disember, 2017.
Iklan

PERSONALITI kontroversi Umno, Jamal Yunos mendakwa golongan yang mahu melantik semula Dr Mahathir Mohamad ke jawatan perdana menteri hanya ingin mendapatkan habuan wang ringgit.

Paling utama di kalangan golongan ini adalah parti DAP, kata Jamal yang menambah, masyarakat Malaysia masih belum terdesak untuk memilih semula Mahathir ke jawatan tersebut.

Beliau mendakwa, golongan di kalangan lingkungan pengaruh Mahathir itu kini ingin mendapatkan dana yang diperolehi Mahathir sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri.

“Siapa kata rakyat terdesak? Rakyat yang terdesak yang dimaksudkan oleh PM (Perdana Menteri Najib Razak) itu adalah orang yang di sekelilingnya yang ingin menghisap darah (duit) Tun M, yang Tun M telah dapat (duit setelah) beberapa puluh tahun lebih jadi PM,” dakwanya.

Dengan memetik laporan “media sosial” beliau juga mendakwa golongan ini telah disogok oleh Mahathir dengan wang berjumlah lebih RM1 bilion.

“Mereka ini telah disuap oleh Tun M termasuklah daripada DAP kalau kita baca portal-portal media sosial sebelum ini beratus juta malah lebih sebilion telah diberikan Tun M kepada DAP,” dakwanya.

Beliau menyatakan dakwaan itu tanpa menunjukkan apa-apa bukti kepada wartawan, dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi petang ini.

Jamal juga berpendapat, DAP akan mendapat lebih keuntungan daripada aturan ini apabila memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum berbanding parti dipimpin Mahathir sendiri, Bersatu.

“Sebab itulah DAP pun tidak kisah. DAP pun tahu DAP dapat duit dan setelah itu nanti DAP tahu jika PRU14 nanti parti bunga (Bersatu) ini hanya dapat dua kerusi sahaja di Johor dan Kedah kerusi Parlimen itu pun kalau dapat.

“Selebihnya kerusi yang paling banyak kerusi DAP selepas itu DAP akan terajang Tun M, dan akan masuk longkanglah Tun M selepas PRU nanti,” tambahnya.

Terdahulu, Jamal yang terkenal dengan pelbagai gimik politik membuat laporan terhadap Dr Mahathir serta isteri bekas perdana menteri itu, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan bekas menteri Zahid Ibrahim yang didakwanya dikatakan menghina Sultan Selangor.

Semalam, Dr Mahathir berkata beliau sedia dinamakan sebagai perdana menteri jika gabungan parti PH tidak dapat mengemukakan nama lain untuk dicalonkan.

Bagaimanapun, beliau akan menerima cadangan itu sekiranya keadaan benar-benar mendesak, katanya menjelang mesyuarat majlis presiden PH yang akan dilangsungkan Jumaat ini bagi membincangkan isu tesebut.

Dalam pemukiman PH awal bulan ini, parti-parti komponen kecuali PKR bersetuju untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya ia menang PRU14. – 13 Disember, 2017.

Iklan
Iklan