Polis akan panggil Mohamaddin
Iklan
POLIS akan merakam keterangan Mohamaddin Ketapi atas kenyataan menteri itu yang didakwa mempersenda anggota pasukan keselamatan, menurut Bukit Aman.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Mohamaddin akan dipanggil selepas pilihan raya negeri (PRN).
Beberapa saksi lain juga akan dipanggil berhubung kenyataan Mohamaddin yang berkaitan dengan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu itu, katanya.
“Rakaman keterangan itu akan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang berada di Sabah kerana penugasan sempena PRN.
“Keterangannya akan diambil di negeri berkenaan apabila keadaan mengizinkan,” kata Mior ketika mengulas siasatan ke atas Mohamaddin yang bertanding di kerusi Segama.
Ia berkaitan ucapan Mohamaddin yang antara lain mengaitkan pencerobohan kumpulan bersenjata pada 2013 itu dengan kemerosotan pengaruh Umno di negeri tersebut.
Rakaman ucapan tersebut yang didakwa dibuat semasa kempen PRN Sabah tular di media sosial dan polis menerima sekurang-kurangnya 72 laporan dari seluruh negara.
Menurut Mior, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pencerobohan kumpulan pengganas Sulu itu menyebabkan lapan anggota polis maut ditembak dan dibunuh dengan kejam dalam dua kejadian berasingan.
Serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna itu mendedahkan kelemahan kawalan sempadan di pantai timur Sabah.
Perairan negeri itu kini dalam pengawasan khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah. – 24 September, 2020.