Iklan

Zahid tak hadir ceramah perdana Perikatan

Sheridan Mahavera4 years ago25th Sep 2020Berita
Tsm8
Majlis ceramah perdana sepatutnya dihadiri presiden parti dalam blok Perikatan Nasional, tetapi Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 25 September, 2020.
Iklan

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi dan akar umbi parti itu tidak kelihatan dalam majlis yang sepatutnya dihadiri semua ketua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Majlis Ceramah Perdana GRS itu sepatutnya menampilkan Zahid bersama-sama presiden parti dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

GRS berdepan saingan sengit Warisan Plus dalam Pilihan Raya Sabah yang pengundiannya dijadualkan esok, 26 September.

“Kehilangan” Zahid berlaku sehari selepas beliau tidak menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kewujudannya dicabar Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Turut tidak kelihatan pada majlis itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin yang bergolak hubungannya dengan PN.

Ketiadaan dua pemimpin kanan ini bersama-sama ahli akar umbi Umno pada majlis yang sepatutnya menjadi “ceramah perdana” untuk menayangkan kekuataan GRS mencetuskan persoalan tentang kekukuhan perpaduan blok politik ini.

Zahid sebelum ini dilaporkan berkata yang beliau tidak boleh menghalang wakil rakyat Umno dan BN daripada menyokong aspirasi keperdanaan Anwar.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu mengulas dakwaan Anwar yang beliau mempunyai “majoriti kukuh dan menyakinkan” di Parlimen.

Perikatan Nasional bersama sekutnya mahu merampas Sabah daripada Warisan Plus, tetapi pengumuman Anwar Ibrahim nampaknya sedikit sebanyak beri kesan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid yang hadir menggantikan Zahid pula enggan mengulas ketidakhadiran itu.

“Tiada komen,” katanya kepada wartawan yang bertanyakan mengapa Zahid tidak hadir walaupun gambar terpampang dalam poster promosi ceramah perdana itu yang dikongsi dalam media sosial.

Majlis itu yang diadakan di bawah khemah besar di tengah padang Kampung Sendil, Putatan di kerusi DUN Petagas, kerusi yang cuba dirampas PN daripada Warisan Plus.

BN Sabah bertanding di Petagas pada PRU14 lalu tetapi kerusi itu diberikan kepada PN pada pilihan raya kali ini.

Sepanduk dan bendera PN bersama-sama logo salam tangan PBS kelihatan digantung di khemah dan hadirin yang datang pula memakai baju warna biru PN.

Logo dacing BN pula hanya kelihatan pada dua bendera yang dipacak di satu sudut pentas utama.

Selain Khalid, seorang lagi wakil BN Sabah yang hadir ialah Presiden MCA Dr Wee Ka Siong. Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Arthur Joseph turut hadir.

Akar umbi PN bertegas yang ada ahli Umno yang hadir tetapi mereka memakai baju PN.

“Kami beri baju PN kepada semua hadirin termasuk ahli Umno. Sudah tentu mereka pakai untuk tunjuk solidariti kepada kami,” kata Iswadi Jamal, aktivis PN dari Kampung Sendil.

Menurut Iswadi lagi, ahli Umno di Petagas bekerja rapat dengan PN untuk kempen di situ.

Ramlin Ramis pula percaya walaupun pernah ada masalah antara mereka, penyokong Umno akan memberikan undi kepada PN pada 26 September.

“Mereka datang majlis kami. Saya kenal beberapa orang walaupun mereka tak pakai uniform (BN).” – 25 September, 2020.

Iklan
Iklan