Iklan

Yang menang, yang kalah di Sabah

Sabah election perikatan nasional result  20200927 hasnoor 020
Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Md Noor (tengah) meraikan kemenangan GRS dalam PRN Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 September, 2020.
Iklan

PILIHAN raya negeri (PRN) Sabah yang ke-16 sememangnya sukar bagi Warisan Plus, yang terpaksa berdepan 13 parti dan 56 calon bebas.

Namun kejayaan pembangkang yang membentuk pakatan atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 38 daripada 73 kerusi tetap juga mengejutkan banyak pihak.

Berikut adalah yang menang dan yang kalah dalam pilihan raya negeri semalam:

Yang menang

* Muhyiddin Yassin

Walaupun bukan pilihan raya umum, perdana menteri mengambil risiko besar apabila menggunakan pilihan raya negeri ini untuk menonjolkan imej julukannya sebagai “Abah” untuk meraih undi.

Bersatu menang 11 daripada 19 kerusi yang ditandinginya walaupun poster “Abah untuk Sabah” ada di mana-mana, kecuali di kawasan yang ditandingi calon Barisan Nasional.

Biarpun enam kerusi diambil dari Umno, parti baharu di Sabah ini menang lima lagi kerusi.

Kejayaan Bersatu akan mengukuhkan keyakinan Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal ketika ketua pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa kerajaannya sudah hilang sokongan.

Muhyiddin juga mengukuhkan kedudukannya dalam rundingan kerusi dengan Umno untuk pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga dijangka akan dinamakan semula sebagai calon perdana menteri.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin di bilik jentera Perikatan Nasional, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 September, 2020.

* Jeffrey Kitingan

Banyak pihak yang mencemuh apabila Jeffrey, yang mengaku dirinya “katak Sabah”, menyertai Perikatan Nasional (PN) dan menuntut lapan kerusi bagi parti pimpinannya Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Ahli politik berpengalaman ini bagaimanapun membuktikan pengaruh partinya apabila menang enam kerusi, sebahagiannya mengalahkan bekas partinya Parti Bersatu Sabah (PBS).

Star kini diwakili di peringkat persekutuan dan negeri. Dengan kedudukan ini, Jeffrey boleh memastikan isu hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditangani dengan wajar.

Selepas bertahun-tahun jadi pembangkang, Jeffrey boleh memainkan peranan menuntut 20% royalti petroleum yang diperjuangkannya sejak sekian lama.

* Parti Warisan Sabah

Walaupun hilang kerajaan negeri, Warisan boleh berdiri tegak kerana mereka menang paling kerusi iaitu 23. Dengan tema kempen “Perpaduan” yang digerakkan bersama sekutunya dalam Warisan Plus, mereka menang kebanyakan kerusi kawasan bandar.

Ia menguasai satu pertiga daripada kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah. Dengan kedudukan itu, Warisan masih berpeluang untuk mengembangkan pengaruhnya.

Ia perlu menangani tanggapan bahawa ia memihak kepada pendatang asing kerana isu itu sangat mempengaruhi pengundi dalam kalangan Kadazandusun Murut. Atau, Warisan perlu mendapatkan rakan politik KDM yang lebih baik. 

Yang kalah

* Umno dan Barisan Nasional (BN)

Umno yang sebelum ini merupakan parti terbesar di Sabah menang hanya 14 kerusi berbanding sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu PN yang menang 17 kerusi.

PN sekarang didukung oleh PBS, bekas komponen BN, yang menang tujuh kerusi. Bersama PBS, PN mempunyai 24 kerusi dan berada dalam kedudukan selesa untuk menamakan pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri.

Umno menang besar di Sabah tetapi rugi besar juga.

Salah seorang penyokong Warisan Plus diterajui Mohd Shafie Apdal dirakam di perkarangan rumah Shafie malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

* Mohd Shafie Apdal

Baru tiga bulan lalu sahaja nama Shafie disebut sebagai calon perdana menteri, menjadikannya pemimpin pertama dari Borneo yang dipertimbangkan untuk memimpin Malaysia.

Namun selepas kekalahan semalam, kewibawaannya pasti tercalar.

Warisan Plus kalah bukan saja kerana GRS tetapi sedikit sebanyak berpunca daripada pentadbiran 26 bulan kerajaannya yang didakwa memberi muka kepada pendatang tanpa izin, tidak mengagihkan bantuan Covid-19 dengan saksama, serta gagal pula meningkatkan ekonomi negeri.

* Upko

Upko hanya menang satu daripada lapan kerusi yang ditandinginya di bawah panji sendiri. Dengan kekalahan ini, parti yang mewakili Kadazandusun Murut ini berdepan zaman gelap.

Sejak pengasasnya Bernard Dompok bersara dari politik, Upko gagal menampilkan pemimpin baharu. Kalau PBS didakwa parti orang tua, setidak-tidaknya ia menang tujuh kerusi.

* Parti Cinta Sabah (PCS)

PCS bertanding paling banyak kerusi di semua 73 kawasan pilihan raya. Orang menjangkakan parti Anifah Aman ini boleh menang sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi.

Namun Anifah sendiri pun kalah di Bongawan. Keputusan pilihan raya semalam memberi isyarat kepada Anifah bahawa cintanya tidak berbalas. Rakyat Sabah tidak perlukan parti ini. – 27 September, 2020.

Iklan
Iklan