Penyewa skim rumah transit menanti kepastian
Iklan
WALAUPUN tempoh menyewa sudah tamat, ramai penyewa skim perumahan transit kerajaan untuk pasangan muda masih tinggal di unit mereka.
Mereka bagaimanapun meminta penjelasan daripada pihak berwajib untuk melanjutkan tempoh sewa atau menukar status skim menjadi perumahan kekal.
Skim di Pinggiran Bukit Jalil yang dilancarkan pada 2014 adalah yang pertama dibuka untuk pasangan baru berkahwin.
Ia dilancarkan sebagai Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) oleh kerajaan Najib Razak dan dijenamakan semula selepas perubahan kerajaan pada 2018.
Namun kejayaan projek itu dipersoalkan kerana kira-kira separuh unit masih kosong walaupun mencari rumah dinilai sebagai cabaran utama bagi golongan dewasa dan pasangan muda.
Malah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata bahawa mereka mempunyai rancangan untuk membina lebih banyak perumahan murah.
Pelaksanaan juga menunjukkan beberapa kelemahan seperti kelewatan Jabatan Perumahan Negara (JPN) yang bertanggungjawab atas skim ini dalam mengambil tindakan untuk menyelesaikan perjanjian sewa.
Sekiranya JPN secara tiba-tiba mengeluarkan notis keluar rumah, kebanyakan pasangan ini yang sebahagiannya kini sudah bekeluarga akan berdepan kesukaran, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Khairul Abdul Rahim, 37, berkata, mencari rumah di sekitar Lembah Klang dengan kadar sewa yang rendah adalah sukar.
“Sebilangan besar daripada kami berusaha keras untuk mencari tempat baharu. Kami juga tak mempunyai kerja dengan gaji tinggi. Kami memohon program perumahan ini kerana sewa bulanannya murah,” katanya yang bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda.
Khairul yang merupakan antara penyewa pertama yang berpindah di situ pada 2015 berkata pada awalnya dia diberi kontrak selama dua tahun namun dilanjutkan lagi setahun.
“Sejak 2018 kami tinggal tanpa perjanjian.
“Daripada kontrak jangka pendek, lebih baik jika kerajaan dapat memberikan kontrak jangka panjang kepada kami kerana ia dapat memberikan jaminan,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada The Malaysian Insight.
Banyak unit kosong
Projek ini merangkumi dua blok dari jumlah keseluruhan 632 unit tetapi pemeriksaan dengan pihak pengurusan bangunan menunjukkan bahawa hanya 329 yang disewa.
Pengurusan dilantik oleh kementerian untuk menjaga bangunan dan mengumpulkan sewa sementara semua keputusan lain termasuk kontrak sewa dibuat oleh kementerian.
Sewa bulanan adalah RM250 untuk satu unit berukuran antara 750 kaki persegi dan 800 kaki persegi, menurut laman web projek.
Pada mulanya hanya untuk disewa selama dua tahun, syarat-syaratnya disemak semula pada Oktober tahun lalu menjadi tiga tahun.
Jumlah pendapatan isi rumah pemohon juga pada mulanya ditetapkan pada RM3,000 namun disemak semula dan ditetapkan kepada RM5,000 dengan sewa sama tidak berubah.
Kumpulan sasaran yang dimaksudkan adalah pasangan baru berkahwin di bawah usia 30 tahun tetapi berdasarkan temubual The Malaysian Insight dengan penyewa, ramai pasangan yang tinggal di sana sudah mempunyai anak ketika berpindah.
Khairul berkata dia dan penyewa lain masih membayar sewa bulanan walaupun tidak mempunyai kontrak sewa yang sah.
“Kami harap kerajaan akan mempertimbangkan fakta ini jika mahu meminta kami keluar,” katanya.
Penyewa lain Mohd Azwan Ramli, 40, berkata kementerian perlu memberi peluang kepada penyewa untuk memiliki unit mereka, sama seperti skim di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Sekiranya ini berlaku, keutamaan harus diberikan kepada penyewa sekarang yang mempunyai rekod pembayaran baik, kata pemandu pelancong yang hilang pekerjaan pada Mei tahun ini.
Dia kini menjadi penulis bebas sementara isterinya menjual nasi lemak untuk mendapatkan pendapatan tambahan.
Azwan berkata dia berpindah ke projek rumah transit pada usia 35 tahun. Sebelum itu dia menyewa di sebuah rumah di Damai Utama, Puchong dengan harga RM800 sebulan.
Keputusan untuk berpindah ke RT1M dibuat kerana dia merasakan sewa rumahnya sebelum itu menggunakan sebahagian besar gajinya.
Permohonannya untuk tinggal di rumah transit diluluskan dalam masa dua minggu.
“Sekiranya kerajaan tidak bersedia untuk mengubah status dan menjual unit tersebut kepada kami, maka mereka perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan kontrak.
“Kami tahu unit itu untuk pasangan baru berkahwin dan penyewa perlu memberi peluang kepada mereka setelah perjanjian berakhir.
“Tetapi ada banyak unit kosong di sini. Oleh itu, mereka perlu memberikan kontrak yang lebih panjang kepada kami,” katanya. – 2 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.