DBKL tidak terlibat penjualan tanah kontroversi, kata Tian Chua
Iklan
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak terlibat dalam penjualan tanah di mana terletaknya tiga kolam takungan banjir, kata ahli Parlimen Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur mengesahkan dalam mesyuarat tertutup hari ini yang Kementerian Wilayah Persekutuan bertangungjawab meluluskan penjualan tanah itu. Tiga kolam takungan banjir itu terletak di Jinjang, Wahyu dan Batu.
“Ia adalah kerajaan persekutuan, bukan DBKL yang menjual tanah itu. Datuk Bandar KL berkata ia bukan keputusan mereka dan tidak meluluskannya.
“DBKL tidak berhak memberi kelulusan, kerajaan persekutuan yang meluluskan penjualan tanah,” katanya, merujuk kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.
Tian Chua berkata penjualan tanah itu bertentangan dengan rancangan asal DBKL untuk menjadikan ia kawasan rekreasi.
“Pelan asal untuk membina taman rekreasi akan dibatalkan. Saya mendesak kerajaan persekutuan menghentikan projek ini dan penjualan tanah mesti dikaji semula.
“Ia membimbangkan apabila KL memerlukan lebih banyak kawasan tadahan air untuk mengelakkan banjir,” katanya.
Dalam satu laporan oleh The Star pada 26 Ogos, Jabatan Tanah Wilayah Persekutuan berkata tanah itu diberikan kepada syarikat swasta untuk projek pembangunan bercampur.
Pengarahnya, Muhammad Yasir Yahya memberitahu tanah itu sebelum ini dimiliki oleh Jawatankuasa Kerja Tanah (UJKT) Wilayah Persekutuan.
Ketua Persatuan Penduduk Taman Wahyu dan Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping sebelum ini membangkitkan perkara itu, mempersoalkan perubahan pemilikan tanah.
Kolam takungan banjir bertujuan menampung air sementara sebelum ia mengalir dan pada masa sama kolam takungan memastikan bekalan air sepanjang tahun dan menahannya daripada mengalir keluar akibat ribut. – 14 Disember, 2017.