Aktiviti hayunan tali di Kuala Kubu Bharu tiada permit, kata exco
Iklan
AKTIVITI hayunan tali tinggi merentangi hulu Sungai Selangor yang menyebabkan seorang wanita cedera parah hujung minggu lalu didapati beroperasi tanpa permit sejak 2017.
Exco sukan Mohd Khairuddin Othman berkata, tiada sebarang permit dikeluarkan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor namun pengusaha berdegil meneruskan operasi.
Menurutnya, pengusaha itu tetap bertindak demikian walaupun sudah diarahkan menghentikan operasi oleh polis sebelum ini.
“Malah mereka pernah mendapat arahan polis untuk menghentikan operasi itu, tetapi gagal menurut arahan dan meneruskan aktiviti berkenaan sehingga berlakunya kejadian tidak diingini.
“Ekoran kemalangan pada 27 September yang melibatkan seorang wanita terhempas itu, MDHS telah mengeluarkan notis untuk menghentikan aktiviti berkenaan serta mengosongkan kawasan terbabit,” katanya.
Tanpa permit pihak berkuasa, jaminan keselamatan ke atas operasi aktiviti buaian tali tinggi berkenaan menjadi persoalan.
Kawasan operasi syarikat itu melibatkan kawasan bahu jalan di atas jambatan tinggi yang merintangi sungai berkenaan, di kaki empangan Sungai Selangor.
Wanita tersebut, Siti Halijah Abd Rahim cedera parah di bahagian tulang belakang akibat terhempas sewaktu menyertai aktiviti berkenaan.
Keluaganya memberitahu The Malaysian Insight, mereka bagaimanapun tidak menyalahkan pengusaha tersebut.
Adiknya, Mohamad Yakub percaya pengusaha tersebut menjalankan aktiviti dengan profesional,
“Kami tidak menuding jari ke arah pengendali khidmat aktiviti itu. Ini semua qada dan qadar Allah dan Dia nak uji kesabaran dan ketabahan kakak ketika ini.
“Mereka sangat professional dan bertanggungjawab di atas apa yang terjadi dari hari kejadian sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata, Siti Halijah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Selayang.
Siti Halijah selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Selayang, kelmarin, katanya. – 2 Oktober, 2020.