128 kes baharu Covid-19 dari kluster penjara di Kedah
Iklan
SEJUMLAH 128 kes baharu Covid-19 dari keseluruhan 287 kes hari ini adalah dari kluster Tembok yang melibatkan penjara di Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jangkitan pada kluster ini berlaku dan merebak di pusat penjara di Kota Setar dengan kes indeks tersebut adalah kakitangan penjara yang meninggal dunia pada Rabu lalu.
“Ia berlaku di kawasan tertutup, bukan di kawasan awam. Kes indeks meninggal dunia pada Rabu lalu dan pesakit merupakan salah seorang kakitangan yang menguruskan kemudahan itu.
“Tiga yang lain kemudian menjangkiti kakitangan itu. Selepas dikesan, adalah tugas kami untuk melakukan saringan seperti apa yang kami lakukan di depot Bukit Jalil,” katanya.
Mengenai sumber jangkitan, Dr Noor Hisham berkata kemungkinan besar pesakit indeks telah membawa virus tersebut ke bangunan berkenaan.
“Kami masih menyiasat tetapi kemungkinan besar ia sudah merebak di penjara.
“Itulah sebabnya kita perlu memastikan di depot imigresen atau penjara perlu ada hubungan minimum dengan orang luar atau bahkan dengan kakitangan penjara,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata kesemua 287 kes yang dilaporkan hari adalah jangkitan tempatan tanpa kes import.
Dari jumlah tersebut 20 adalah mereka yang pulang dari Sabah.
Beliau juga berkata terdapat 81 pesakit pulih setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih seramai 10,095 orang.
Seramai 20 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tidak ada kematian baru dilaporkan dengan jumlah keseluruhan kematian kekal 136 orang. – 2 Oktober, 2020.