Pengusaha pelancongan, runcit bimbang PKP kali kedua
Iklan
OPERATOR sektor pelancongan dan runcit mendesak Putrajaya agar tidak menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pusingan kedua ketika jangkitan Covid-19 terus melonjak tetapi bertindak mengawal keadaan secepat mungkin.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sangat sukar untuk memulakan semula perniagaan selepas PKP ditarik balik pada Jun dan pelaksanaan kali kedua akan memberi impak lebih teruk.
Kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka 200 pada 1 Oktober, selepas mengekalkan tahap rendah selama empat bulan terakhir.
Semalam Malaysia mencatatkan 432 kes, jumlah jangkitan harian tertinggi, yang menyebabkan orang ramai bimbang dengan pelaksanaan PKP sekali lagi.
Susulan lonjakan baru-baru ini, sektor pelancongan domestik mula mengalami banyak pembatalan tempahan.
Bilangan pengunjung dikebanyakan pusat membeli-belah di Kuala Lumpur juga menurun selepas kes Covid-19 dilaporkan di sana.
Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Albert Tan Sam Soon memberitahu The Malaysian Insight, syarikat pelancongan domestik menerima permintaan pembatalan atau menjadualan semula lawatan mereka sejak dalam seminggu lalu.
“Jumlah kes yang disahkan meningkat setiap hari, membimbangkan pelanggan. Mereka menelefon untuk membatalkan dan membuat penjadualan semula. Saya harap keadaan akan stabil dalam masa dua minggu,” kata Tan.
Pada masa ini, kebanyakan pemain industri menantikan musim puncak pada akhir tahun.
Mereka berharap kerajaan dapat mengawal penularan pandemik dan mencegah tempat pelancongan menjadi zon merah Covid-19.
“Sekarang ini awal Oktober, dan saya berharap wabak itu dapat dikawal segera kerana bermula November hingga akhir Desember akan ada ramai pelancong.”
Pakej pelancongan inovatif
Beliau berkata beberapa pelanggan tidak boleh membuat pembatalan kerana jangka waktu yang singkat tetapi mereka boleh mengatur semula lawatan ke kawasan di zona hijau, yang tiada kes disahkan.
Tan berkata kebanyakan mereka di dalam industri ini cuba meyakinkan pelanggan untuk menjadualkan semula atau menukar lokasi perjalanan.
Pemain melakukan pelbagai promosi pelancongan dalam beberapa bulan terakhir, mereka bekerjasama dengan jabatan pelancongan tempatan untuk membangunkan tarikan baru, masakan dan pakej pelancongan baharu.
“Walaupun situasi pandemik semakin buruk, kami akan terus ke depan.
“Industri menerima impak besar tetapi setiap orang mesti mencari jalan untuk bertahan dan terus menjalankan perniagaan. Kami tidak boleh berhenti di tengah jalan,” kata Tan.
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, “Adalah penting jangkitan dan kluster yang ada terus dikendalikan dengan berkesan dan rantaian jangkitan cepat terputus.”
Soh berkata perniagaan dan perdagangan mesti terus beroperasi, termasuk perkhidmatan sokongan seperti pengangkutan dan logistik, bagi memastikan tiada gangguan pada pergerakan barangan.
“Perniagaan tidak akan dapat bertahan dengan satu lagi kesan PKP yang akan menyebabkan kemusnahan tidak dapat dipulihkan kepada ekonomi kita, terutama sektor pembuatan.”
Soh menyatakan persetujuannya terhadap promosi dan pelaksanaan segera pakej rangsangan ekonomi Prihatin oleh kerajaan.
Beliau berkata ia membantu proses pemulihan perniagaan awal dan membantu perniagaan terutama peniaga kecil dan sederhana (PKS), khususnya perniagaan mikro.
Pakej rangsangan termasuk moratorium pembayaran pinjaman bank automatik membantu mengatasi cabaran kekangan aliran tunai dan dalam memenuhi kos modal tetap.
“Namun, perniagaan terutama PKS, masih kekurangan dana dan bantuan lebih lanjut untuk membantu kos operasi mereka akan disambut baik.”
Soh berkata ia tindakan sangat menggalakkan apabila institusi kewangan terus memudahkan permintaan dan permohonan moratorium lanjutan pembayaran pinjaman bank.
FMM merayu kerajaan dan institusi kewangan terus memberikan sokongan moratorium kepada industri yang sedang bergelut selama tiga bulan lagi, hingga Disember.
Pengunjung pusat membeli-belah semakin kurang
Presiden Persatuan Rangkaian Peniaga Malaysia (MRCA) Liew Bin berkata lonjakan kes Covid-19 menyaksikan penurunan besar pelanggan di banyak pusat membeli-belah.
Beliau berkata ini terbukti pada minggu lalu ketika kes mulai melonjak walaupun pusat membeli-belah yang tidak melaporkan jangkitan turut terjejas.
“Orang takut, jadi mereka menjauhkan diri,” kata Liew.
“Perniagaan baharu saja pulih, tetapi tiba-tiba ada gelombang kedua. Orang ramai memelih untuk tidak keluar.” – 6 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.