Iklan

2 lelaki ditahan di Kota Bharu kes cemar Sg Batang Benar

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago7th Oct 2020Berita
Acryl
Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan lelaki berusia 20-an dan 30-an berkaitan kes pencemaran Sungai Batang Benar, di Nilai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Oktober, 2020.
Iklan

POLIS menahan dua lelaki tempatan di Kota Bharu semalam berhubung kes pencemaran Sungai Batang Benar, di Nilai, Negeri Sembilan, yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di empat daerah di Selangor sejak Ahad.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan lelaki berusia 20-an dan 30-an itu.

“Pegawai dan anggota telah menahan mereka tengah hari semalam di Kota Bharu dan malam tadi sudah dibawa ke Nilai untuk siasatan.

“Siasatan dijalankan polis Nilai dan saya tidak boleh mengulas lanjut berikutan masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Cheras, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ia berkait dengan bahan buangan dan sisa sebatian organik yang ditemukan di punca pencemaran itu – satu kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas di Kawasan Perindustrian Nilai.

Pencemaran di Sungai Batang Benar itu merupakan salah satu daripada dua isu yang dikaitkan dengan penutupan loji di masalah bekalan air.

Siasatan yang dijalanakn menemui satu lagi punca pencemaran bau di sebuah ladang ternakan angsa dan itik di kawasan berdekatan di Pajam.

Kegiatan pembersihan ladang secara besar-besaran itu didapati menghasilkan bau kuat seperti bau bangkai dikesan di kawasan terbabit.

Pencemaran berkenaan menyebabkan dua loji rawatan air di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan 309,687 pengguna putus bekalan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. – 7 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan