Polis hantar semula kertas siasatan kes Khairuddin pada AG
Iklan
POLIS sudah menyerahkan semula kertas siasatan membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali kepada Jabatan Peguam Negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid menyatakan kertas siasatan itu diserahkan semula pada 1 Oktober lalu.
“Ya, sudah dihantar semula pada 1 Oktober lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Mior Faridalathrash, polis mula merakam keterangan Mohd Khairuddin dan beberapa saksi pada 27 Ogos.
Kertas siasatan bagi kes ingkar perintah kuarantin itu bagaimanapun diserah semula kepada pasukannya untuk dilengkapkan pada 30 September.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, Jabatan Peguam Negara mengarahkan supaya mengambil tindakan ke atas beberapa perkara, yang tidak didedahkan.
Kes Khairuddin kembali menjadi perhatian apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas semalam mendakwa tiada pilih kasih dalam menguatkuasa perintah kuarantin.
Kes itu mencetus cemuhan orang ramai yang meluat kerana individu dari kalangan orang awam sudahpun dikenakan hukuman keras bagi kesalahan sama.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu disiasat polis kerana didakwa melanggar perintah kuarantin wajib selepas kembali dari kunjungannya ke Turki pada Julai lalu.
Siasatan itu menyusuli 27 laporan polis yang dibuat ke atas Khairuddin selepas menteri tersebut didapati tidak menjalani kuarantin sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai.
Kementerian Kesihatan mengumumkan Khairuddin sudahpun dikenakan kompaun pada 7 Ogos dan menteri itu sudahpun menjelaskannya.
Bagaimanapun kementerian itu menyerahkan kepada polis untuk siasatan.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga pada September menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menegaskan tiada siapa terlepas daripada undang-undang.
Beliau menegaskan demikian walaupun tindak-tanduk Khairuddin itu dipertahan pemimpin PAS.
Antaranya, mursyidul am parti itu Hashim Jasin yang mengumpamakan Khairuddin seperti burung dalam surah al-Quran yang membawa keuntungan lebih besar walau melanggar peraturan.
Khairuddin pada 17 September lalu mengumumkan sedang menjalani rawatan di hospital apabila timbul desas-desus mendakwa beliau diarah bercuti sementara siasatan dijalankan ke atasnya.
Menurut polis, siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Penguatkuasaan Akta 342 itu mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.
Ia sebagai langkah mengekang penularan virus Covid-19.
Pesalah kali pertama mengikut akta itu boleh dikompaun maksimum RM1,000 oleh ketua pengarah kesihatan, dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika dihadapkan ke mahkamah oleh agensi penguatkuasaan. – 7 Oktober, 2020.