Pasar malam kurang untung, ramai bimbang dengan wabak, kata peniaga
Iklan
KIRA-kira separuh daripada pasar pagi dan pasar malam di Kuala Lumpur masih belum beroperasi walaupun dibenarkan berbuat demikian di bawah Perintah
Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana kadar keuntungan yang tidak memberangsangkan sejak peningkatan kes Covid-19, kata peniaga.
Pelanggan memilih untuk mengelakkan daripada mengunjungi pasar-pasar berkenaan sehingga memaksa peniaga menutup perniagaan.
Presiden Persatuan Penjaja Bergerak Kuala Lumpur Lim Suai Chai memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan pasar memilih untuk tidak beroperasi selepas mempertimbangkan faktor ini pendapatan yang kurang.
Menurutnya, hanya kurang separuh daripada 98 pasar malam dan pasar pagi di Kuala Lumpur dibuka semula sejak Julai.
“Dianggarkan 25 hingga 28 (pasar pagi dan pasar malam) dibuka semula, dan paling banyak pun 40,” katanya.
Tambah Lim, sebelum kes Covid-19 memuncak sejak minggu lalu, pengunjung yang hadir kira-kira 60% hingga 70%.
“Tetapi apabila kes meningkat, jumlah pengunjung berkurangan sehingga 50%.”
Lim juga berkata, kebanyakan pasar terbabit tidak besar dan prosedu operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan kerajaan menyebabkan perbelanjaan tambahan kepada peniaga.
Ini memberi kesan kepada pendapatan mereka yang mana hasil perniagaan mereka tidak mencapai tahap yang kehendaki.
“Sekiranya pengunjung kurang dan peniaga tidak untung, mereka memilih untuk tidak berniaga.
“Dalam sesetengah kawasan, mungkin ada 30 gerai dan kita kenakan RM30 untuk satu gerai menjalankan perniagaan, pemilik gerai perlu bayar lebih daripada apa yang mereka perolehi.”
Lim berkata, persatuan itu mendapati pasar malam yang beroperasi pada Isnin dan Selasa akan mengalami kerugian.
Tambahnya, kos RM140 diperlukan untuk membayar anggota Rela bagi memastikan pematuhan di pasar malam, ditambah pula dengan musim hujan sejak kebelakangan ini, hanya 14 penjaja yang berniaga.
Oleh itu, persatuan itu sendiri hanya menjana pendapatan yang sedikit.
Ini tidak termasuk gaji yang perlu dibayar oleh persatuan kepada ahli jawatankuasa eksekutif dan kakitangan yang hadir untuk membantu, katanya.
Beliau berkata, pihaknya memahami peniaga ini yang bergantung kepada pendapatan ini cuba mengelak daripada terus menanggung kerugian.
Tambahnya pihak persatuan dan kumpulan lain berusaha untuk menangani situasi itu dengan menggunakan pendaoatan daripada pasar malam yang ramai pengunjung untuk membiaya pasar malam yang lebih kecil.
“Ada tempat yang rugi, dan ada yang buat keuntungan,” kata Lim.
Terkesan dengan berita palsu
Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil, Yow Boon Choon berkata perniagaan dilihat semakin pulih antara 50% hingga 60% selepas beroperasi semula pada Julai di bawah PKPP.
Bagaimanapun, ia berubah selepas peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini.
“Perniagaan semakin pulih tetapi selepas peningkatan kes baru-baru ini, perniagaan pasar malam terjejas kembali. Semua lega apabila kes menurun hingga satu digit, namun tiba-tiba kes melonjak dengan banyak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Semalam, 489 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia kepada 13,993 kes, dengan 141 kematian.
Menurutnya, kebanyakan peniaga beralih kepada perniagaan dalam talian, yang juga merupakan cara baharu untuk meraih keuntungan bagi ahli muda persatuan berkenaan.
“Dalam kalangan ahli, kebanyakan golongan muda beralih kepada perniagaan dalam talian.”
Katanya, ahli persatuan itu juga akan terus mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan dan terus mengamalkan SOP di pasar pagi dan pasar malam.
Kerana jumlah kes meningkat, persatuan itu turut mengumumkan pembatalan aktiviti hari penjaja yang dijadualkan pada November serta penangguhan perhimpunan perwakilan ahli persatuan itu.
Presiden Persekutuan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor dan KL Tan Luan Huat berkata, selain penularan Covid-19, satu lagi yang memberi kesan terhadap perniagaan mereka adalah penyebaran berita palsu.
“Berita palsu mengenai kes di segelintir kawasan membuatkan orang takut untuk keluar. Pengunjung pasar pagi dan pasar malam menurun dengan drastik.”
Tan menganggarkan bahawa prestasi perniagaan semasa adalah suram. Penjaja bimbang sekiranya perniagaan akan ditangguhkan lagi serta ketidakpastian mengenai sekatan pada masa akan datang. – 8 Oktober, 2020.