Iklan

Macau Scam cuci duit dalam syarikat selebriti, kata SPRM

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago8th Oct 2020Berita
Sprm stock pix 12042017 tmikamal ariffin 02
Sindiket Macau Scam didapati memegang saham dalam syarikat tertentu milik ahli perniagaan dan selebriti untuk mengawal pelaburan wang hasil dari penipuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.
Iklan

SINDIKET Macau Scam didapati memegang saham dalam syarikat tertentu milik ahli perniagaan dan selebriti untuk mengawal pelaburan wang hasil dari penipuan, kata agensi antirasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, sindiket juga didapati melabur wang hasil penipuan kepada syarikat pinjaman wang atau along serta sindiket judi haram.

“Jadi, apabila mereka menjadi pemegang saham syarikat keuntungan hasil pelaburan di syarikat itu akan diterima semula sindiket berkenaan dengan mudah.

“Mereka ini melakukan kegiatan haram, tetapi bagaimana mahu mencuci wang itu… di sinilah mereka akan salurkan wang itu.

“Mereka beri wang tunai dan ada dalam keadaan tertentu mereka menjadi pemilik saham bagi mendapatkan bayaran balik pelaburan itu,” katanya dalam satu wawancara dengan MACCCfm.

Jelas Azam, ia merupakan satu cara untuk mengabui mata rakyat dengan melaburkannya dalam perniagaan terbabit.

“Sekiranya kita lihat cara mereka, ia nampak halal tetapi dana itu sebenarnya hasil penipuan terhadap ramai rakyat Malaysia,” katanya

Selain itu, sindiket tersebut juga dikesan mewujudkan beratus-ratus syarikat palsu dalam proses mengubah wang terbabit, jelasnya.

“Disebabkan itu, selepas kami mengesan wang jutaan ringgit milik sindiket itu, kami menyita dan beku semua akaun.

“Wang itu akan dikembalikan kepada kerajaan, ia adalah duit rakyat yang tertipu dengan sindiket ini,” kata Azam.

Operasi ke atas sindiket penipuan Macau Scam itu dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti dan orang kenamaan bergelar Datuk.

Ia membawa kepada penahanan 20 individu termasuk orang kenaman dan anggota serta pegawai dari pasukan polis.

Pada masa sama Azam meminta selebriti dan artis yang terbabit dengan perniagaan bersama sindiket tersebut untuk tampil memberi keterangan.

Azam berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk menerima maklumat berhubung sindiket penipuan itu.

Segala maklumat boleh disalurkan kepada pegawai SPRM itu di talian 019-3126020 (Asrul); PPj 013-9400200 (Rohaizi) dan 017-2582415 (Sabri).

Dalam wawancara yang sama, Azam mengesahkan seramai 20 suspek termasuk lapan dari pasukan polis ditahan dalam operasi khas kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam.

Agensi itu juga setakat ini berjaya menyita 730 akaun bank yang mengandungi wang RM80 juta, wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah. – 8 Oktober, 2020. 

Iklan
Iklan