Iklan

Kes beli asrama pelajar Mara di Australia akan ke mahkamah, kata SPRM

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago8th Oct 2020Berita
Azam baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi antirasuah itu sudah mendapat kebenaran Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan melibatkan kes pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2020.
Iklan

BEBERAPA individu yang terlibat dalam urusan pembelian asrama pelajar Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Australia akan didakwa di mahkamah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Katanya, pihak SPRM sudah mendapat kebenaran Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan melibatkan kes pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne.

“Saya ingin maklum, kami sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara. 

“Sekarang ini faktor masa saja berikutan ada juga individu mungkin berada di Sabah dan dalam kuarantin (Covid-19). 

“Jadi kami akan dakwa dalam masa terdekat,” katanya dalam wawancara bersama saluran radio MACC.fm hari ini.

Azam baru-baru ini berkata pihaknya menunggu hasil siasatan pihak berkuasa di Australia berhubung kes tersebut.

Pada Ogos, pihak polis persekutuan Australia mendakwa rakyat negara itu yang dituduh memberi rasuah kepada pegawai kerajaan Malaysia berhubung pembelian asrama berkenaan.

“Kami sudah berbincang dengan timbalan pendakwa raya untuk melihat tuduhan yang mungkin boleh dikenakan ke atas individu tertentu dalam kes ini, berdasarkan sedikit keterangan yang kita peroleh daripada AFP (Polis Persekutuan Australia).

“Jika undang-undang membenarkan kita untuk menuduh individu ini, kita akan menuduh individu individu tertentu dalam kes Mara ini berdasarkan bukti daripada AFP,” kata Azam ketika itu.

Pada 2015, akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tertinggi Majlis Amanah Rakyat (Mara), seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne.

The Age mendakwa “sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya” terlebih bayar sebanyak AUS$4.75 juta (RM14.37 juta) bagi blok apartmen di bandar raya tersebut pada 2013.

Annuar Musa yang merupakan Pengerusi Mara pada ketika itu, dilaporkan berkata, agensi berkenaan memperoleh bangunan lima tingkat Dudley International House seluas 30,279 kaki persegi selepas Mac 2013.

Ia menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaan Mara di Australia. – 8 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan