SPRM panggil 9 pegawai kanan polis kes 'cuci duit'
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil sembilan pegawai kanan polis bagi membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian dan Macau Scam.
Sumber agensi antirasuah itu berkata sembilan pegawai kanan tersebut telah dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes ini, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Setakat hari ini, proses mengumpul keterangan sedang giat dijalankan. Sebanyak 736 akaun telah dibekukan dengan jumlah penyitaan sejumlah lebih kurang RM101 juta.
“Dua suspek utama kes bergelar ‘Datuk’ itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi disambung reman esok,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber itu lagi, sebanyak 39 saksi telah dirakam percakapan manakala 19 individu ditahan.
Daripada jumlah yang ditahan, sembilan masih lagi dalam tahanan reman.
“Gerakan mengesan saki baki sindiket ini ditumpukan kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat.
“Fasa seterusnya ialah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang telah dikenal pasti terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, pihak yang terlibat diminta tampil segera ke SPRM bagi membantu siasatan sebelum tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya.
Sumber berkata SPRM memberi masa selewat-lewatnya sehingga Isnin ini untuk mereka segera menyerah diri.
“Individu dan syarikat yang telah dibekukan akaun mereka juga wajar tampil ke SPRM untuk memberi keterangan mereka.
“Jangan tunggu sehingga tindakan tegas diambil terhadap mereka.”
Tambahnya, kegiatan menggunakan populariti artis untuk menjalankan aktiviti “mencuci duit haram” melalui pelbagai usahasama dan perniagaan sah dikesan agensi itu.
Beberapa selebriti tersebut kini menjadi tumpuan siasatan dan dua orang daripadanya sudah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Dalang utamanya di China akan melantik ejen seperti ‘Datuk’ yang sudah ditahan reman pada 2 Oktober lalu.
“Sindiket ini, yang terbabit dengan kegiatan haram termasuk perjudian, akan memerangkap selebriti tempatan dengan menawarkan bantuan modal untuk memulakan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, kegiatan mereka itu dikesan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM hasil risikan dan siasatan dijalankan.
Ia membawa kepada penahanan lapan individu termasuk dua lelaki bergelar Datuk dan Datuk Seri, katanya. – 9 Oktober, 2020.