Perubahan kerajaan bakal rencatkan ekonomi, kata penganalisis
Iklan
PRESTASI suku keempat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bergantung kepada dasar dan pelan kerajaan baharu jika berlaku perubahan pemerintahan seperti diumumkan Anwar Ibrahim, kata penganalisis.
Mereka berkata pelaksanaan dasar di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bergerak perlahan pada permulaan beberapa bulan sejak mengambil alih kuasa pada Mac selepas beliau mengambil masa untuk menyusun barisan Kabinet dengan mewujudkan beberapa kementerian baharu.
Ketika ekonomi Malaysia masih dalam fasa pemulihan daripada pandemik Covid-19, penganalisis berkata tempoh beberapa bulan untuk membentuk kerajaan baharu, boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi.
Pakar ekonomi Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (Ideas) Adli Amirullah berkata jika Anwar dapat menukar kerajaan, peralihan yang pantas dan penyesuaian segera dasar amat kritikal dalam mengekalkan fasa pemilihan ekonomi.
Mengulas mengenai kesan ketidakstabilan politik terhadap KDNKK negara, beliau berkata: “Kita perlu menunggu dan melihat apa yang akan berlaku.
“Jika Anwar yang mendakwa mempunyai sokongan, boleh menumbangkan Muhyiddin, maka kita perlu lihat betapa cepat beliau (Anwar) boleh menstabilkan kerajaan.”
Adli juga berkata jika Anwar mendapat kuasa, cara pentadbirannya untuk menangani kelembapan ekonomi dan dasar kementerian tertentu akan memberi kesan.
“Apabila Perikatan Nasional mendapat kuasa, kita boleh lihat berlaku kekeliruan dalam tempoh satu hingga bulan.
“Ia mengambil masa untuk Kabinet baharu diumumkan dan terdapat juga kementerian baharu. Menteri baharu ini perlukan peruntukan dan prosedur untuknya akan mengambil masa,” katanya.
Adli berkata amat kritikal untuk melakukan peralihan dan penyesuaian secara pantas jika Anwar benar-benar menjadi perdana menteri.
Katanya, jika ia boleh dilakukan maka ekonomi akan terus pulih.
Sebaliknya Adli berkata usaha pemulihan akan terhenti jika peralihan kuasa tidak berjalan lancar.
“Jika ia tidak boleh dilakukan, maka KDNKK suku keempat akan memberi keputusan yang membimbangkan,” katanya.
Adli berkata jika Anwar menipu tentang sokongannya dan tidak dapat merampas kuasa, ekonomi akan kekal stabil.
Beliau berkata ini kerana Muhyiddin sudah tujuh bulan berkuasa dan banyak dasar ekonomi penting termasuk Rancangan Malaysia k-12 (RMK12) dan Bajet 2021 digerakkan.
“Jika perkara ini sedang diusahakan, maka penangguhan dan kerenah birokrasi juga berkurangan.
“Tambahan, Muhyiddin sudah melepasi peringkat pertama menubuhkan kerajaan iaitu komposisi Kabinet dan penyelerasan sesama mereka.” – 12 Oktober, 2020.
Berita penuh di sini.