Iklan

Sumpahan syarat Umno kepada perdana menteri

Jahabar Sadiq4 years ago14th Oct 2020Editorial
49933040256 d4e387de72 c
Umno akhirnya membuat keputusan bahawa sokongan mereka kepada Bersatu Umno tidak lagi menguntungkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2020.
Iklan

KEPUTUSAN Biro Politik Umno malam tadi untuk menimbang semula sokongan parti kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mendaftarkan kerjasama politiknya dengan PAS bukanlah sesuatu yang tidak dijangka.

Apa yang tidak dijangka ialah keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan bukti sokongan kepada untuk jadi perdana menteri.

Bukti itu belum lagi disahkan kerana Yang di-Pertuan Agong belum pun bertemu dengan mana-mana ketua parti kecuali veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu sebelum ini mendesak Umno supaya menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Alasan beliau untuk Umno keluar dari kerajaan mungkin tidak sama dengan sebab biro politik parti tetapi kesannya sama – ia akan menyebabkan kerajaan Muhyiddin tumbang dan mungkin membuka jalan kepada pilihan raya umum lebih awal.

Punca Umno tidak puas hati dengan PN sudah diketahui umum walaupun parti itu ada sembilan menteri, tujuh timbalan menteri dan sejumlah jawatan utama dalam agensi.

Daripada soal menyerahkan kepimpinan negeri di Perak dan Sabah kepada Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin sampailah kepada pendakwaan ke atas pemimpin Umno yang sedang berjalan, melibatkan antaranya bekas perdana menteri Najib Razak dan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Satu-satunya yang terlepas sekarang ialah bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terhadapnya digugurkan pada Jun lalu.

Musa kemudian mengerakkan rampasan kuasa politik di Sabah yang berakhir dengan pilihan raya negeri, yang kemudiannya memberikan teraju negeri kepada Bersatu sementara PAS buat pertama kali menjadi anggota kerajaan negeri.

Apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sabah bulan lalu diselubungi kontroversi melibatkan dakwaan sabotaj sehingga Umno terlepas peluang mengetuai kerajaan negeri.

Ia juga mengukuhkan kepercayaan dalam kalangan ahli dan pemimpin Umno hampir di segenap peringkat bahawa Bersatu, yang terdiri kebanyakannya bekas ahli Umno, bukanlah sekutu politik yang boleh dipercayai. Parti itu hanya menunggang jentera politik Umno.

Umno akhirnya membuat keputusan bahawa sokongan mereka kepada Bersatu atau kerajaan Umno tidaklah lagi menguntungkan. Melainkan jika ada syarat baru, dan syarat itu bertulis.

Apatah lagi sokongan mereka sejak Februari lalu bersandar pada beberapa syarat yang mereka percaya belum juga tertunai.

Dalam erti kata lain, sembilan bulan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak mendatangkan manfaat kepada Umno.

Dr Mahathir Mohamad membayangkan hal ini baru-baru ini apabila berkata Anwar pun akan berdepan dengan syarat-syarat yang sama sekiranya ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat sokongan Umno untuk jadi perdana menteri, sama seperti Muhyiddin pada Februari.

Keputusan Umno mahu mendaftar Muafakat Nasional dengan PAS juga adalah notis kepada parti Islam itu menjelang pilihan raya lebih awal sekiranya kerajaan tumbang.

PAS kini semakin dekat dengan Bersatu melalui jalinan PN namun Umno percaya ia adalah sekutu yang lebih kuat di kubu politik mereka di kawasan luar bandar.

Apa yang akan berlaku masih juga belum jelas. Apa yang jelas ialah Umno sudah membuat keputusan yang tegas dan bertindak sebagai abang besar politik Melayu.

Sokongan politik adalah syarat utama yang ia tawarkan dan ia akan menyokong ahi politik yang boleh mengotakan syaratnya.

Pada masa ini, Istana Negara tidak boleh dimasuki oleh sesiapa, sementara ahli politik akan dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Namun apa yang pasti, notis sudah diberi kepada Muhyiddin.

Keputusan Umno menghebahkan kepada umum bahawa ia sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin adalah isyarat berakhirnya riwayat pentadbiran seorang perdana menteri.

Ia juga boleh berlaku pada Anwar nanti tetapi masa itu belum ditentukan lagi. – 14 Oktober, 2020. 

* Jahabar Sadiq pengendali The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan