Bekas setiausaha politik menteri akan didakwa rasuah, kata SPRM
Iklan
SEORANG bekas setiausaha politik menteri akan didakwa di mahkamah atas tuduhan terlibat menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5 juta berhubung tender projek di sebuah kementerian, kata sumber agensi anti rasuah.
Lelaki dalam lingkungan umur 40 tahun itu akan dikenakan beberapa tuduhan di mahkamah di Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, kata sumber.
Beliau juga dijangka didakwa sekali lagi di mahkamah di Shah Alam pada Jumaat 23 Oktober untuk beberapa pertuduhan lain atas kesalahan yang sama, tambahnya.
Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norazlan Mohd Razali mengesahkan maklumat sumber namun enggan mendedahkan nama suspek.
Beliau juga mengesahkan SPRM akan turut mendakwa tiga pegawai kanan sebuah agensi di bawah kementerian yang sama atas tuduhan menerima rasuah.
Sumber juga berkata hasil siasatan mendapati bekas setiausaha politik menteri itu dipercayai membantu syarikat kontraktor untuk mendapatkan projek di kementeriannya.
Beliau juga didakwa menerima suapan daripada beberapa individu menerusi beberapa transaksi. – 14 Oktober, 2020.