Walau digelar anti Melayu kerana sertai DAP, perjuangan Rara kerana rakyat
Iklan
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia?
The Malaysian Insight memulakan siri ini dengan Young Syefura Othman daripada DAP yang berbicara tentang persediaan menjadi wakil rakyat.
MENJADI salah seorang ahli politik Melayu daripada DAP yang paling dikenali, Young Syefura Othman sudah bersedia sekiranya parti itu meletakkannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) walaupun baru tiga tahun bergelumang dalam arena politik.
Penyertaannya dalam parti yang didominasi orang Cina itu menjadikannya sasaran kecaman perkauman, apatah lagi kerana imejnya sebagai wanita muda Melayu yang bertudung.
Wanita berusia 26 tahun itu pernah dilabel sebagai anti Melayu dan anti Islam selepas menyertai DAP tetapi Young Shefura terus kekal fokus kepada kepercayaan yang disifatkannya sebagai perjuangan membantu rakyat.
“Jadi saya buat tak peduli apa yang mereka kata dan buktikan mereka silap menerusi sikap dan kerja saya. Mereka tak logik. Saya tak dengar perkara buruk kecuali ia adalah kritikan membina yang boleh bantu saya perbaiki diri sendiri,” katanya dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.
Lebih mesra dikenali sebagai Rara, beliau mengatakan kecintaanya kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan penglibatan dalam gerakan aktivis sudah bermula sejak masih bergelar pelajar kejuruwatan di universiti lagi.
“Kita perlu kerja keras untuk tunjukkan yang kita buat apa kita kata, dan semua perkara yang kita buat bukan untuk parti, tetapi untuk rakyat yang akan menilai sekiranya kita layak atau tidak mewakili mereka.”
“Dan saya suka buat kerja kemasyarakatan dan saya suka jumpa orang, jadi saya lebih suka kerusi negeri berbanding kerusi Parlimen,” katanya yang kini berkhidmat sebagai ahli Majlis Perbandaran Kajang.
DAP dijangka mempertaruhkan muka baru terdiri daripada orang Melayu dalam pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan dan Rara adalah antara calon yang sudah dilatih parti itu untuk memimpin sejak beberapa tahun lepas.
Beliau dilantik sebagai penyelaras DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam kawasan Parlimen Hulu Langat, Selangor pada 3 Disember 2015. Selaku penyelaras, beliau juga adalah wakil rasmi DAP di kawasan itu.
Secara tradisinya, DAP meletakkan penyelaras kawasannya sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya umum sekiranya mereka berkhidmat dengan baik.
Kawasan Dusun Tua kini dipegang oleh Razaly Hassan dari PAS yang menang pada 2013. Kawasan itu terdiri daripada 53% pengundi Melayu, 38% Cina dan 7% India.
Bagaimanapun, Rara masih realisitik dan bersedia sekiranya parti tidak melantiknya sebagai calon.
“Saya bersedia jika mereka namakan saya sebagai salah seorang calon, tetapi saya juga okay jika tidak dipilih. Selepas sertai parti, saya sudah bersedia untuk melakukan apa sahaja.
“Seperti sebelum ini bila saya ditempatkan di Kelantan untuk bantu bina rumah di negeri itu, saya sudah buktikan kemampuan saya. Jadi saya bersedia jika diberikan peluang dan jika parti fikir saya layak.
“Tetapi jika parti rasa belum sampai masa, saya akan terima.”
Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman sebagai wakil rakyat, Rara percaya yang beliau boleh menjadi suara anak muda kerana beliau memahami cabaran dan berdepan masalah yang sama dihadapi orang muda seperti peningkatan kos sara hidup dan pelonjakan harga rumah.
“Saya masih menyewa. Selaku wakil orang muda dan wanita, saya boleh jadi suara perubahan untuk mereka. Isu seperti kos sara hidup, gaji rendah dan pengangguran semuanya ada kaitan dan ia memberi kesan besar kepada kami,” katanya.
Beliau juga seringkali menjadi penceramah di ceramah Pakatan Harapan (PH) dan berulang kali menggesa pengundi untuk meraikan perubahan.
“Rakyat perlu tinggalkan kepompong mereka, mereka tak boleh takut ubah kerajaan,” katanya menambah yang pembangkang sudah membuktikan kemampuan memerintah di Selangor dan Pulau Pinang yang dirampas daripada Barisan Nasional pada 2008.
“Kini kami bekerja keras untuk ubah persepsi orang Melayu tentang DAP, terutama sekali mereka yang sudah didoktrin.
“Seperti bekas ahli Umno yang sekarang bersama Bersatu, sebelum ini mereka takutkan Lim Kit Siang tetapi bila mereka sertai program, mereka terkejut yang beliau adalah orang yang baik, peramah dan menghormati orang Melayu,” katanya merujuk kepada parti baru yang diasaskan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini merupakan sebahagian daripada PH.
Katanya lagi, ketakutan orang Melayu terhadap DAP merentas semua kelompok dan kelas masyarakat, sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar disebabkan retorik politik yang sejak sekian lama diamalkan Umno untuk menentang DAP.
“Walaupun ada antara mereka yang profesional (kerjaya) dan mungkin bukan ahli atau menyokong Umno, pemikiran (takutkan DAP) itu masih sama.
“Kerana itu saya fikir pemimpin parti (DAP) perlu turun padang dan berjumpa orang Melayu yang sudah biasa dimomokkan dengan cerita tentang mereka oleh pemimpin Umno.” – 16 Disember, 2017.