Iklan

Pengusaha resort di zon hijau Selangor bimbang kena gulung tikar

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago19th Oct 2020Berita
Covid-19 selngor green zone 20201013 hasnoor 010
Satu keluarga sedang mandi manda di Taman Rekreasi Sungai Tekala di Semenyih, Selangor, salah satu zon hijau bebas Covid-19 di negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2020.
Iklan

PENGUSAHA sektor pelancongan di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor bimbang tidak dapat pulih semula apabila terpaksa menutup operasi sekali lagi.

Ada di antaranya menjangka akan terpaksa menutup operasi kerana tidak dapat menanggung hutang akibat penutupan operasi sewaktu gelombang pertama jangkitan Covid1-19 sejak Mac lalu.

Salah seorang daripadanya pengusaha tapak perkhemahan dan resort di Semenyih yang menjangka perniagaannya semakin buruk apabila menutup semula operasi sejak 13 Oktober.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat, 57, memberitahu The Malaysian Insight, beliau sudahpun rugi besar sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

“Saya rugi hampir RM20,000 dalam tempoh enam bulan kerana terpaksa memberi kebenaran kepada pelanggan untuk membatalkan tempahan dan memulangkan balik wang deposit.

“Saya juga masih membayar separuh gaji kepada lima pekerja saya kerana mereka masing-masing sudah berkeluarga, kos gaji pekerja saya saja RM2,000 sebulan,” katanya.

Jika PKPB berterusan beliau kemungkinan besar terpaksa menutup resortnya kerana sudah tidak mampu menanggung rugi dan tiada punca pendapatan lain selain perniagaan itu, katanya.

Premis pelancongan seperti resort Pak Mat itu merupakan antara sektor dalam kategori riadah, rekreasi dan budaya yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu PKPB di seluruh Selangor,

Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, taman permainan tertutup dan panggung wayang juga tidak dibenarkan beroperasi sehingga 27 Oktober.

Hutan Lipur Sg Gabai di Semenyih ditutup kerana pelaksanaan PKPB walaupun daerah itu adalah zon hijau bebas Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Oktober, 2020.

Seorang lagi pengusaha resort di Semenyih yang mahu dikenali sebagai Cik Mona, 45, juga mempertimbangkan untuk menutup resort sekiranya tidak dapat menanggung kerugian.

Pengusaha resort dengan konsep rumah tradisional itu berkata, beliau baru sahaja dapat beroperasi semula pada Oktober dan kini terpaksa membatalkan semua tempahan.

“Apabila PKPB diumumkan, saya terpaksa pulangkan balik semua deposit untuk tempahan dari 14hb hingga hujung Oktober.

“Ada juga pelanggan yang membuat tempahan untuk bulan November meminta saya memulangkan wang deposit, kesemuanya saya rugi kira-kira RM5,000.

“Jika keadaan berterusan, saya tiada pilihan lain selain menutup resort ini atau mengecilkan kawasan resort untuk disewakan kepada penguasaha lain untuk tujuan pertanian,” katanya.

Rozi Jamaludin, 36, (tengah) sedang melayan pelanggan di kedainya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Oktober, 2020.

Sewaktu gelombang pertama jangkitan Covid-19, kawasan sekitar Hulu Semenyih pernah diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ekoran tumpuan jangkitan tinggi.

Namun kawasan itu kini merupakan satu-satunya daerah dalam kategori hijau tanpa sebarang kes, berbanding daerah lain seperti Petaling yang mencatat lebih 100 kes.

Kalangan pengusaha seperti pemilik restoran, Rozi Jamaludin, 36, pula menjangka perniagaan akan merosot sedikit tetapi tetap bersyukur kerana PKPB membenarkan pelanggan makan di restoran.

“Jika sekarang sekitar 10 hingga 20 pelanggan datang sehari, majoriti akan duduk dan makan di sini, tetapi dengan PKPB jumlah pelanggan yang boleh duduk dan makan pada satu masa perlu dikurangkan.

“Pendapatan akan berkurang sedikit tetapi saya mungkin dapat lebih ramai pelanggan yang bungkus dan makan di rumah,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Baru, Hulu Semenyih.

Penunggang basikal berehat di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor, walaupun kawasan itu adalah zon hijau ia masih dikenakan PKPB kerana arahan Putrajaya walaupun cuba dilawan kerajaan negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 Oktober, 2020.

Seorang lagi peniaga gerai makanan berdekatan Sungai Gabai di Hulu Semenyih bersyukur kerana menjangka perniagaannya tidak banyak terjejas.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Pak Tam berkata, banyak pelanggannya terdiri daripada kumpulan berbasikal dan aktiviti tersebut masih dibenarkan bawah PKPB dalam kumpulan kecil.

Namun sekatan rentas daerah akan menghalang kumpulan berbasikal dari kawasan lain untuk melalui gerai beliau, yang turut dilihat Pak Tam dari sudut positif.

“Harap dengan PKPB ini, mereka yang dari zon berbahaya akan kurang hadir di zon hijau seperti kawasan ini.

“Meskipun memberi impak kepada industri pelancongan tempatan namun kesihatan perlu diutamakan,” katanya.

Pelaksanaan PKPB di zon hijau itu pada awalnya ditentang oleh beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor termasuk Menteri Besarnya Amirudin Shari.

Beliau terkejut dengan arahan PKPB berkuatkuasa seluruh Selangor bermula 14 Oktober, kerana hanya beberapa daerah di Lembah Klang mencatatkan jumlah kes Covid-19 membimbangkan.

Amiruddin yang bimbang arahan itu menjejaskan ekonomi golongan berpendapatan rendah seterusnya akur apabila hampir semua sektor dibenarkan beroperasi dengan prosedur ketat.

Selangor semalam mencatat 50 lagi kes baharu daripada keseluruhan 629 angka positif yang diumumkan kementerian kesihatan. – 19 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan