Iklan

Selangor akan guna dron tangkap pencemar sungai, kata exco  

Elill Easwaran4 years ago19th Oct 2020Berita
Hee loy sian
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Hee Loy Sian bercakap kepada pemberita ketika melawat loji rawatan air di Sungai Selangor hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Oktober, 2020.
Iklan

KERAJAAN negeri Selangor akan menggunakan dron bermula bulan depan untuk melakukan pemantauan sepanjang sungai bagi mengatasi pencemaran. 

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Hee Loy Sian berkata dron itu akan menelan kos sebanyak RM2 juta. 

Selain itu, kerajaan negeri juga akan meminda undang-undang untuk meningkatkan kadar denda terhadap mereka yang mencemar sungai - daripada RM100,000 sehingga RM1 juta dan menambah tempoh penjara.

Kerajaan negeri turut menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berhubung pencemaran, tambah Hee.

“Sukar untuk mengesan pencemaran bau, itu sebabnya mengapa kita luluskan RM2 juta untuk membeli teknologi dron bagi memantau situasi pencemaran,” katanya pada sidang media di Sungai Gong hari ini. 

 

Tambahnya dron itu akan mula beroperasi bulan depan dan pemantauan akan dibuat terutamanya di Sungai Selangor dan Sungai Langat kerana kedua-dua sungai ni merupakan kawasan panas untuk pencemaran.

Dron berkenaan akan beroperasi 24 jam dan dipantau oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Dron ini juga mampu masuk ke kawasan terpencil yang sukar dimasuki petugas kita,” katanya.

Mengenai ganjaran yang ditawarkan kepada pemberi maklumat, Hee berkata ia akan diberikan sebaik sahaja pesalah didakwa di mahkamah.

“Setakat ini kita telah bincangkan untuk beri ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat.

“Identiti pemberi maklumat tidak akan didedahkan kepada umum dan ini kerana kita mahu menggalakkan lebih ramai orang tampil bila mereka menyedari berlaku pencemaran di kawasan mereka,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri akan membentangkan satu enakmen pada bulan depan untuk menaikkan kadar denda terhadap mereka yang mencemar sungai.

“Denda akan dinaikkan antara RM200,000 hingga RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun.

“Kita masih menyiasat punca pencemaran yang berlaku dan kita tidak menolak kemungkinan perbuatan sabotaj,” kata Hee.

Gangguan bekalan air menjejaskan lebih 1 juta pengguna dan perniagaan di Lembah Klang, ia merupakan insiden kedua dalam tempoh kurang dua minggu – selepas pencemaran dikesan di Sungai Selangor.

Operasi di loji rawatan Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan untuk membersihkan pencemaran.

Pemberhentian operasi itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1.196 juta pemilik akaun meliputi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang , Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – 19 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan