Syarikat kawalan keselamatan kecil sukar laksana SOP Covid-19
Iklan
MASALAH aliran tunai syarikat kawalan keselamatan lebih kecil mungkin menjadi salah satu punca mengapa sebilangan besar pengawal keselamatan dijangkiti Covid-19 baru-baru ini, kata persatuan industri itu dan kumpulan majikan.
Sebilangan besar sektor terjejas dengan impak ekonomi akibat wabak, dan syarikat kawalan keselamatan lebih kecil tidak terkecuali, dengan ada yang berdepan kesukaran menghantar pengawal keselamatan mereka untuk menjalani ujian Covid-19 dan memperbaiki kualiti tempat tinggal pekerja.
Ketika syarikat lebih besar mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), saringan pekerja dan perumahan lebih baik, sebilangan kecil dalam industri terpaksa memilih untuk menggunakan aliran tunai yang ada bagi kelangsungan syarikat.
Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan berkata syarikat kecil yang dikategorikan sebagai majikan mikro, memerlukan semua wang tunai untuk terus bertahan.
“Syarikat besar mengikuti (SOP), tetapi bagi syarikat kecil sangat mencabar.
“Kini lebih sukar lagi apabila mereka menanggung lebih banyak kos pada masa seperti ini,” katanya, merujuk kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Beliau diminta mengulas mengenai lonjakan kes Covid-19 di kalangan pengawal keselamatan dan pekerja asing, dan kaitannya dengan kelewatan majikan melaksanakan polisi kediaman lebih baik di bawah Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja 1990, yang berkuat kuasa pada 1 September.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan sebelum ini berkata akta yang dipinda itu akan merangkumi semua sektor, dengan harapan peraturan baharu mengenai piawaian lebih baik bagi kediaman pekerja akan membantu mengekang penyebaran Covid-19.
Namun, majikan meminta tempoh lebih panjang untuk pelaksanaannya.
Shamsuddin berkata, majikan mikro berasa sukar untuk menyediakan perumahan pekerja mengikut standard baharu.
“Mereka (majikan) memerlukan semua wang tunai untuk membayar gaji, kos tetap seperti sewa. Sekiranya tidak, mereka tidak akan dapat bertahan.
“Kami percaya pemain lebih kecil kurang daripada 10% dalam pasaran. Tiada masalah dengan pemain yang lebih besar untuk mematuhi garis panduan.”
Shamsudin juga mencadangkan pihak berkuasa melakukan lebih banyak pemeriksaan di asrama pekerja dan menjelaskan apa diperlukan dalam memerangi wabak tersebut.
“Didik mereka bagaimana mengurus sampah, kebersihan dan berkenaan Covid-19.”
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) Ramli Yusuff berkata, ahli kumpulan itu mematuhi akta standard minimum bagi perumahan pekerja.
Beliau berkata satu trend sekarang adalah menyewa lebih banyak tempat untuk pengawal keselamatan bagi menjaga penjarakan sosial, dan bukannya menempatkan semua pekerja dalam satu tempat.
Ramli juga berkata masalah dalam pelaksanaan kediaman lebih baik dan SOP Covid-19 mungkin timbul apabila syarikat keselamatan berlesen memberi francais atau melakukan sumber luar perniagaan kepada pihak ketiga, yang mengupah pekerja haram.
“Ini di luar kawalan kami,” katanya.
Persatuannya mengawasi 900 syarikat keselamatan, 60% daripadanya berada di Lembah Klang.
“Kami mempunyai hampir 120,000 pengawal keselamatan tempatan dan kira-kira 30,000 pekerja Nepal.”
Katanya, sebahagian besar syarikat keselamatan mengikuti SOP yang merangkumi pemeriksaan suhu sebelum bekerja, sanitasi tempat tinggal dan mengelak suasana sesak.
Persatuannya juga melakukan lawatan ke tempat pekerja untuk memeriksa penghuni dan memastikan majikan menyediakan kemudahan yang bersih dan mencukupi.
“Daripada pemantauan kami, boleh dikatakan ia cukup memuaskan hati.”
Ramli berkata, kerajaan boleh membantu syarikat keselamatan kali ini di bawah PKPB kedua dengan memberi subsidi kos ujian Covid-19.
Pengawal keselamatan sudah menjalani ujian Covid-19 semasa PKPB pertama, dan ini akan membantu majikan membiayai kos sekiranya ada bantuan untuk ujian baru sekarang, katanya.
Ketua Penasihat Persatuan Industri Keselamatan Selangor dan Wilayah Khirudin Tajudin bersetuju yang kerajaan harus memberi subsidi ujian Covid-19 bagi PKPB kedua.
“Ini adalah beban yang perlu kerana lonjakan kes. Kami tidak tahu siapa yang dijangkiti atau tidak.”
Beliau juga berkata pengawal keselamatan harus dilayan sebagai manusia dan berhak mendapat piawaian perumahan minimum.
“Anda tidak boleh meletakkan mereka bersesak dalam satu tempat. Jangan tunggu pihak berkuasa datang dan melakukan pemeriksaan, kemudian baharu bertindak. Ini adalah sebahagian daripada menjalankan perniagaan dengan betul,” kata Khirudin.
Tinjauan dengan beberapa pengawal keselamatan warga asing di sekitar Selangor mendapati kebanyakan mereka tidak merungut dengan keadaan hidup mereka.
Seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang tidak mahu disebutkan namanya berkata, tempat tinggalnya tidak sesak kerana majikan hanya membenarkan dua orang sahaja dalam sebuah unit.
Seorang lagi rakan senegaranya yang memperkenalkan diri sebagai Gopal, berkata tempat tinggalnya hanya mempunyai empat penghuni.
“Kami tidak menghadapi masalah mengamalkan penjarakan sosial. Ini tidak sesak bagi kami. Kami juga tidak dibenarkan pergi ke mana-mana pun oleh majikan. Kami diberitahu duduk di rumah walaupun pada hari cuti kerana virus,” kata Gopal.
Bagi pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Lalit pula berkata, tempat tinggalnya juga memuaskan.
“Hanya kami berdua tinggal dalam satu unit dan kami bekerja berlainan syif. Jadi, tidak timbul masalah penjarakan sosial.” – 23 Oktober, 2020.