Iklan

Masih ramai lagi dikehendaki untuk kes Goh, Addy Kana

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago23rd Oct 2020Berita
sprm tmi
Seramai 45 individu dipanggil SPRM setakat ini dalam kes ubah wang haram dari penipuan Macau Scam dan judi haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2020.
Iklan

LEBIH ramai lagi dikehendaki tampil untuk siasatan termasuk selebriti media sosial dan rakan kepada suspek utama kes melibatkan Geoh Leong Yeong dan Addy Kana, kata agensi antirasuah.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seramai 45 individu dipanggil setakat ini dalam kes melibatkan sindiket pengubahan wang haram daripada penipuan Macau Scam dan judi haram dalam talian.

Sumber agensi itu memberitahu The Malaysian Insight, 20 daripadanya pernah ditahan agensi itu termasuk Goh, yang lolos ketika cuba ditahan semula oleh polis 12 Oktober lalu.

Individu berkenaan menjadi tumpuan dalam kes yang kini turut menyebabkan beberapa orang pegawai kanan polis ditahan kerana disyaki melindungi sindiket tersebut.

“Masih ada ramai yang dalam siasatan dan akan dipanggil untuk siasatan. Daripada mereka yang sudah dipanggil, dua lelaki adalah (selebriti Instagram) dan beberapa selebriti termasuk pelakon.

“Mereka hanya tampil memberi keterangan selepas dipanggil meskipun kita sudah memberi mereka tempoh dua minggu untuk hadir secara sukarela,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Antara yang ditahan, dua wanita dipercayai berperanan penting melaburkan wang hasil aktiviti Macau Scam dan judi dalam talian ke dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

Addy, ahli perniagaan yang menjadi perhatian sejak beberapa tahun atas penampilan mewahnya, kini ditahan polis berserta dua pegawai polis yang dipercayai melindungi sindiket itu.

Addy dan dua pegawai itu polis Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 selama 21 hari sejak 14 Oktober lalu.

Goh pula setakat ini masih diburu pasukan itu apabila berjaya melarikan diri sebaik dibebaskan dengan jaminan SPRM minggu lalu.

Goh dikaitkan dengan 12 sindiket perjudian dalam talian serta sindiket Macau Scam yang ditumpaskan dengan penahanan Addy dan 138 lagi individu.

Lelaki tempatan itu dikesan memiliki beberapa buah syarikat jualan komputer yang beroperasi di Plaza Low Yat dan menjadi seorang rakan kongsi sebuah pusat hiburan.

Menurut Bukit Aman, Addy pula dikaitkan dengan penyediaan premis dan kemudahan internet untuk sindiket dari China menjalankan aktiviti jenayah.

Selain terlibat dalam Macau Scam, Addy juga didapati membantu dalam jenayah pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) dan penipuan membabitkan judi dalam talian.

Kegiatan itu dikaitkan dengan sindiket berasal dari China yang turut terlibat dalam aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi dari negara itu seperti QQ, WeChat dan Weibo, selain Facebook. – 23 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan