Iklan

Warga asing kembali berniaga secara haram di pasar borong KL, kata peniaga

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago27th Oct 2020Berita
Pasar borong selangor tmi 22
Terdapat lebih 100 peniaga haram menjual pelbagai produk di sekitar Pasar Borong KL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Oktober, 2020.
Iklan

PENIAGA buah dan sayur di sekitar pasar borong Kuala Lumpur mengadu terdapat warga asing kembali selepas selama beberapa bulan tidak aktif susulan serbuan dan penguatkuasaan ketat oleh pihak berkuasa.

Peniaga memberitahu The Malaysian Insight, terdapat lebih 100 peniaga haram menjual pelbagai produk di sekitar pasar.

Peniaga mendakwa warga asing tidak lagi mendirikan gerai sementara tetapi menjual barang-barang di luar lot kedai dan bergerak menggunakan troli untuk membuat jualan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pusat Bandar Utama Chu Kok Ming berkata walaupun tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), warga asing masih ada.

“Sebahagian mereka menyewa lot kedai daripada penduduk tempatan dan beroperasi di luar premis ini,” kata Chu.

“Mereka yang tidak mempunyai premis menggunakan trolimengangkut barang untuk mencari pelanggan.”

Katanya, mereka biasanya beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari.

“Mereka kembali lagi sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.”

Beliau berkata warga asing mendapatkan barangan daripada pemborong dan menjualnya sekitar 20% hingga 30% lebih murah.

“Disebabkan mereka (warga asing) perniagaan kami merosot sebanyak 50%,” kata Chu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pusat Bandar Utama  Chu Kok Ming berkata peniaga haram masih ada walaupun pihak berkuasa berterusan mengambil tindakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Oktober, 2020.

“Punca mengapa sebagagian pemborong juga menjual kepada mereka adalah kerana mereka perlu mencari nafkah. Kami tidak dapat menghalangnya. Tetapi, ahli kami tidak akan menjualkannya kepada mereka.

“Tetapi, mereka (wargag asing) menjejaskan kami. Mereka boleh menjual dengan murah kerana tidak mempunyai kos operasi, seperti sewa dan gaji pekerja yang harus dibayar.”

Katanya, mereka mempunyai kira-kira 80 ahli yang menjual buah dan sayur, dan kebanyakan pelanggan mereka adalah peniaga pasar malam dan pasar basah.

Chu berkata mereka sudah membangkitkan rungutan kepada Dewan Bandaraya dan Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

“Jawatankuasa kami akan bermesyuarat pada awal November dan lihat apa yang dapat kami lakukan untuk mengatasi masalah ini. Kami adalah pembayar cukai, jadi kerajaan mesti membantu kami.”

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah berkata tidak dapat dinafikan masalah ini masih berlanjutan kerana alasan utamanya ialah warga asing terbabit masih berada di lokasi itu.
Beliau berkata, ia terus berlaku walaupun terdapat penguatkuasaan DBKL dan Jabatan Imigresen.

“DBKL sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang menjual pelbagai barang di sekitar Kuala Lumpur, termasuk peniaga buah dan sayur di sekitar pasar borong Kuala Lumpur.

“Ini adalah usaha bersama untuk membasmi dan menyekat aktiviti perniagaan tanpa izin.

“Kami juga mendesak warga kota agar tidak menyokong dan membeli barang daripada peniaga warga asing ini.”

Tinjauan The Malaysian Insight juga mendapati ratusan warga asing bekerja di sekitar pasar borong.

Kenderaan DBKL juga kelihatan sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

Penjual buah, Khiew Yon Chin berkata mereka sudah mengemukakan masalah ini beberapa kali, tetapi warga asing masih tetap kembali.

“Mereka berasal dari Myanmar dan Bangladesh, yang kebanyakannya menjual buah dan sayur.”

Beliau berkata beberapa orang daripada mereka mempunyai pasport dan pemegang kad UNHCR, tetapi menggunakan penduduk tempatan menyewa premis untuk beroperasi.

Penjual buah Jimmy Ng berkata peniaga haram menjejaskan perniagaan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Oktober, 2020.

“Sewa kami RM14,000. Kemudian kami perlu membayar Perkeso, KWSP dan juga gaji pekerja.

“Warga asing ini dulu bekerja untuk kami, jadi mereka tahu siapa pembekalnya. Jadi, sekarang mereka hanya perlu mengambil daripada pembekal yang sama.”

Seorang lagi penjual buah tempatan Jimmy Ng, mendakwa warga asing itu mencuri perniagaan mereka.

“Sebaik sahaja pelanggan menghampiri tempat kami, mereka menunggu dengan troli.

“Mereka mencuri pelanggan kami. Seperti apabila pelanggan keluar dari kereta, mereka segera mendekati dan menjual apa saja yang ada dengan harga lebih murah.”

“Perniagaan saya juga menurun sekitar 40% hingga 50%,” tambah Khiew. – 27 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan