Suspek utama kes ubah wang haram Macau Scam diberkas
Iklan
SUSPEK utama sindiket pengubahan wang haram daripada penipuan Macau Scam dan judi haram dalam talian, Geoh Leong Yeong berjaya diberkas hari ini, menurut Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed mengesahkan suspek ditahan bersama seorang wanita di sebuah hotel di satu kawasan peranginan di luar Lembah Klang.
“Ya dia ditahan pada jam 1.20 pagi hari ini di sebuah hotel di luar Lembah Klang. Dia kini sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk permohonan reman.
“Suspek dikehendaki polis berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian,” kata Huzir kepada The Malaysian Insight.
Goh ditahan selepas 15 hari melarikan diri sebaik dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Beliau dilaporkan berjaya melarikan diri menggunakan kaedah yang menimbulkan kontroversi – dengan memanjat pagar di bangunan SPRM yang dikawal ketat.
Sementara itu satu sumber menjelaskan, tempat persembunyian Goh sewaktu ditahan dalam operasi khas itu merupakan hotel di kawasan peranginan Genting Highland.
Goh melarikan diri untuk mengelak ditahan oleh polis semula sebaik dibebaskan daripada jaminan SPRM pada 11 Oktober lalu.
Ketika kejadian, Goh bersama tiga lagi suspek terdiri daripada selebriti media sosial Addy Kana serta dua anggota polis dalam proses diserahkan kepada pihak polis.
Dua anggota polis berpangkat koperal serta Addy direman selama 21 hari sehingga 3 November depan bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.
Siasatan itu meliputi kegiatan mencuci duit haram didakwa hasil aktiviti perjudian dan penipuan dengan melabur dalam perniagaan milik selebriti dan artis tempatan.
Menurut SPRM, seramai 20 individu lain termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China ditahan berkaitan siasatan tersebut.
SPRM juga membekukan RM101 juta daripada 736 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta serta merampas 23 kenderaan mewah dipercayai dibeli dengan wang hasil kegiatan haram itu. – 27 Oktober, 2020.