Iklan

Umno santet Umno

Hasmi Hashim4 years ago27th Oct 2020Suara
Iklan

BERMESYUARAT sejak siang. Sampai lewat malam. Satu negara berdebar macam menunggu keputusan pilihan raya. Alih-alih, Umno memutuskan untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu bermakna Umno terus menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Ia bererti, Umno juga nampaknya mengambil apa juga risiko untuk terus bersama parti serpihannya, Bersatu.

Sedangkan dalam tujuh hingga lapan bulan, khabarnya Umno selalu dipijak Bersatu. Jawatan strategik, termasuk yang terkait dengan kepentingan ekonomi, tidak diberikan kepada Umno. Kepada Umno, hanyalah jawatan gula-gula.

Dalam masa sama, pemimpin Umno yang difikirkan “liar” dan bahaya kepada Bersatu, cuba dijinakkan dengan ditawarkan jawatan. Termasuk Tengku Razaliegh Hamzah yang ditawar ke Petronas, atau Nazri Aziz ke Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tawaran-tawaran sedemikian, sesetengahnya sudah diambil oleh segelintir pemimpin Umno. Tawaran-tawaran sedemikian, sesungguhnya tidak akan menguatkan kedudukan Umno di dalam kerajaan. Umno adalah sebuah parti. Bukan kepentingan individu-individu mana-mana pemimpinnya yang dikehadapankan.

Sejak sebulan dua lalu, hampir setiap minggu kita mendengar kenyataan-kenyataan pemimpin Umno dan PAS untuk terus menyokong PN dan Muhyiddin. Kalau diteliti, kenyataan-kenyataan sedemikian datangnya daripada orang-orang yang sama sahaja.

Sama ada Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein, Noraini Ahmad, atau dari PAS yang dibeberkan oleh Takiyuddin Hassan. Sedar tak sedar, semua mereka itu memegang jawatan menteri dalam kabinet Muhyiddin. Sangat munasabah bahawa mereka sebenarnya mempertahankan kedudukan diri, dan bukannya parti masing-masing.

Pelik sekali apabila dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Isnin, 26 Oktober, presiden UMNO berkata perlunya “rekonsiliasi nasional” dengan semua parti politik. Dalam perenggan lain, disebut pula bahawa Umno kekal untuk menolak PKR dan DAP.

Nah! Bukankah ini dua kenyataan yang jelas bercanggah?

Bagaimana pada masa sama mahu “rekonsiliasi nasional dengan semua parti”, tetapi mahu juga terus menolak PKR dan DAP? Kenyataan itu sebenarnya menunjukkan Umno sedang kusut. Pemikiran Umno tengah serabut.

Setiap masa sejak Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Umno tercari-cari hala tuju baharu. Musuhnya ramai, kawannya semakin sedikit.

Kalau difikir masak-masak, PAS juga telah menyumbang kepada kekalahan Umno di banyak kerusi. Puncanya apabila PAS meletakkan calon menentang calon Umno. Anehnya, selepas PRU, Umno membentuk Muafakat Nasional (MN) dengan pihak yang baru sahaja kelmarin “bertembak” dengannya dalam PRU.

PAS pun bersetuju — sementara persetujuan dan keikhlasan PAS tidak pernah ditanya atau dipersoalkan! Bahkan rasanya Umno juga sangat kurang membuat kajian atau “home work”, siapakah PAS hari ini?

Idea perpaduan Melayu yang menjadi dasar pembentukan MN, bukan gagasan baru. Sejak 1980 dan 90-an lagi, cakap-cakap sebegitu sudah terdengar.

Namun waktu itu, PAS dipimpin oleh dua orang yang berbeza dengan PAS hari ini. Dahulunya PAS dipimpin mereka yang berfikiran sederhana seperti allahyarham Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Keduanya tidak pernah mengkafirkan Umno dan menghalalkan darah pihak yang mereka katakan sebagai kafir itu.

Penyatuan Melayu yang cuba diusahakan beberapa pemimpin Umno, sama ada Ahmad Zahid Hamidi atau Najib Razak adalah satu usaha yang terlambat. Ia samalah seperti pada tahun 2020 ini, kita hendak berbangga dapat menciptakan mesin getah; sedangkan ciptaan seperti teknologi telefon pintar sudah jauh ke depan dan menguasai pasaran.

PAS sedar, ia tidak memerlukan Umno. PAS sudah menguasai tiga negeri — Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam pentadbiran ketiga-tiga negeri itu, Umno juga tidak diberikan peranan dan penghormatan apa-apa. Umno kekal disisih meski Umno selalu dengan bangga menyebutkan PAS adalah rakan di dalam MN.

Malahan sudah tersebar cerita, PAS berkeras untuk bertanding lebih banyak kerusi di tiga negeri mereka itu tadi. Suara Umno di bawah, terus direndam ke bawah. Tidak dipedulikan.

Dalam masa sama, Umno terus berhadapan dengan Bersatu. Ketika Umno memerlukan sokongan PAS untuk menandingi Bersatu, PAS buat tidak tahu. Ada kalanya PAS lebih berpihak pula kepada Bersatu. Bukan kepada Umno: sekali lagi, konon rakan setianya dalam MN.

Buktinya, PAS boleh bersama MN. Dalam waktu sama, PAS juga bermain kayu tiga dengan menyertai PN.

Sewajarnya sikap talam dua muka dan tidak jujur PAS itu bukan sahaja sudah lama dikesan pemimpin elit Umno, bahkan sudah pula sesuatu tindakan diambil. Sayang nampaknya, tidak. Umno kekal lemah.

Kelemahan Umno boleh dikatakan berpunca daripada khayalan atau “hantu” yang mereka ciptakan sendiri sejak berpuluh tahun. Hantu yang bergentayangan dalam kepala Umno itu tidak lain adalah PKR dan DAP. Mungkin juga secara khusus, Anwar Ibrahim.

Khayalan Umno inilah yang menjadikan Umno gagal membuat keputusan yang tepat. Umno sangat takut dibaham hantu ciptaannya — meski ketakutan itu belum pasti. Apa yang pasti, Umno tidak dapat menafikan bahawa mereka sedang dimakan oleh kawan atau rakan kongsinya sendiri: PAS dan Bersatu. Itulah yang jelas.

Sekali lagi, kalau difikir masak-masak dan diteliti, bagi tujuan pilihan raya, banyaknya kerusi Umno adalah bertindih dengan PAS dan Bersatu. Mereka akan berebut tempat yang sama. Sedangkan jauh berkurangan Umno akan bertanding di kerusi yang ditandingi PKR, mahu pun DAP.

Mustahil Umno berminat dengan kerusi Bukit Bintang yang ditandingi oleh DAP ketimbang kerusi Bagan Datoh yang akan ditentang oleh Bersatu. Begitu juga mustahil Umno akan menentang Anwar Ibrahim di Port Dickson berbanding Azmin Ali di Gombak.

Keputusan kekal menyokong Muhyiddin selepas Raja-raja Melayu sekali pun tidak mendengar syor PM untuk melaksanakan darurat umpama Umno menyantet dirinya sendiri. Umno sedang melukai Umno.

Makanya kerja gila itu disebabkan oleh Umno sedang kebingungan. Tidak kenal musuh yang di depan mata. Tapi mahu menentang hantu khayalan di dalam kepala.

Umno mungkin akan menang dengan musuh yang palsu, tetapi kalah dengan musuh yang nyata. – 27 Oktober, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan