Wajah buruk politik kaum di Malaysia
Iklan
KALAU seseorang itu sudah tahu sesuatu itu mustahil tetapi tetap juga dia menjaja cerita yang sama, orang itu apa?
Kalau seseorang itu tahu sesuatu itu palsu tetapi cuba mendapat manfaat politik daripadanya, orang itu apa?
Itulah soalan-soalan yang perlu ditanya oleh pengundi Malaysia susulan kenyataan Presiden MCA, Liow Tiong Lai. Beliau hari ini berkata negara akan porak peranda sekiranya veteran DAP Lim Kit Siang jadi Perdana Menteri.
Katanya, Lim seorang ahli politik yang tidak berprinsip yang pandai menyebarkan benih perkauman.
Kita sepatutnya tidak terlalu kisah dengan usaha Liow menjatuhkan Lim. Pemimpin politik yang lebih berkredibiliti dan tentunya lebih bijaksana sudah melakukannya sejak sekian lama. Lim sudah melalui tahanan tanpa bicara. Beliau tidak terkesan apa-apa dengan ejek-mengejak oleh rakan junior dalam pakatan Barisan Nasional.
Apa yang patut kita perhatikan ialah kesanggupan Liow untuk ikut jejak langkah Hadi Awang dan menyokong dakwaan liar Presiden PAS itu kononnya Lim hendak jadi PM Malaysia.
Mana ada peluang untuk mana-mana warga bukan Islam dan bukan Melayu jadi PM Malaysia. Inilah realiti politik di Malaysia dan sesiapa yang baru berjinak-jinak dengan politik pun tahu hakikat ini.
DAP tahu dan menerima hakikat ini, dan itu sebabnya ia tidak mendesak jawatan paling kanan dalam Pakatan Harapan walaupun ia mempunyai jentera politik yang paling mantap berbanding semua parti pembangkang yang lain.
MCA pun tahu dan menerima hakikat ini. Itu sebabnya ia tidak mendesak Umno untuk mendapatkan kerusi yang lebih atau lebih banyak jawatan dalam kerajaan.
Tetapi Umno dan PAS percaya sekiranya dijaja cerita kononnya pemimpin DAP jadi PM Malaysia, maka pengundi Melayu tidak akan mengundi pembangkang.
Jadi ahli politik Umno dan sekutunya Hadi Awang mengulang-ulang cerita kononnya Lim Kit Siang minat hendak jadi PM. Jangan kita tidak perasan, Hadi Awang sekarang mengikut rentak yang dialunkan oleh Umno.
Sekarang nampaknya Liow pula menyanyi lagu yang sama, dan makanya, mereka bersekongkol sama-sama menipu.
Tetapi lebih buruk lagi, beliau ikut bersekongkol cuba menggambarkan seorang ahli politik Cina Malaysia sebagai momok dalam politik Malaysia.
Kerana itulah yang dilakukan oleh Umno dan Hadi apabila mereka menyerang DAP sebagai sebuah parti Cina dan cuba menyemai ketakutan dengan mengatakan Lim Kit Siang akan jadi PM Malaysia.
Mereka cuba memancing orang Melayu dan memburuk-burukkan seorang warga Malaysia berketurunan Cina untuk manfaat politik.
Liow Tiong Lai dengan gembiranya membantu mereka.
Dengan berbuat begitu, beliau itu apa? – 17 Disember, 2017.