Iklan

Risiko Covid-19 tidak jejas tugas polis, kata Bukit Aman

Poliss
Polis terus bertugas memutuskan rantaian penularan Covid-19 meskipun lebih 10,000 anggotanya diperintah kuarantin sementara ratusan disahkan positif jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.
Iklan

PASUKAN polis terus menjalankan tugas memutuskan rantaian penularan Covid-19 meskipun lebih 10,000 anggotanya diperintah untuk menjalani kuarantin sementara ratusan disahkan positif jangkitan sejak pandemik dikesan di Malaysia awal tahun ini, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Ramli Din memberitahu The Malaysian Insight walaupun terdapat trend agak membimbangkan, anggota dan pegawai pasukan itu masih berdiri gagah demi tugas.

Menurutnya, anggota pasukan itu sentiasa diingatkan untuk mengutamakan kebersihan diri dan mengawal diri setiap kali mereka ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan.

“Tentunya bahaya itu nyata, tetapi semangat mereka masih tinggi. Kami di Bukit Aman akan selalu mengingatkan para petugas kami dari semua peringkat dan negeri untuk waspada dan mengikuti prosedur operasi standard yang ketat tanpa henti.

“Kami tidak terlalu risau kerana kami percaya bahawa kami telah menetapkan standard yang tinggi bagi mereka untuk mematuhi perintah. Kami mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dengan tegas,” kata Ramli.

Awal minggu ini, Ramli berkata seramai 161 pegawai dan anggota polis termasuk keluarga mereka didapati positif Covid-19 sehingga kini.

Mereka yang diuji positif terdiri daripada 17 pegawai kanan polis, 91 pegawai rendah, lima anggota awam dan 48 ahli keluarga.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin juga pada Selasa berkata lebih 10,000 anggota polis, termasuk pegawai, diperintahkan untuk menjalani kuarantin.

Katanya, kadar jangkitan yang tinggi dalam kalangan anggota polis, yang berada di barisan hadapan dan paling dekat dengan orang ramai, turut mempengaruhi kemampuan pasukan itu dalam menjalankan tugasnya.

Anggota polis itu sentiasa diingatkan untuk mengutamakan kebersihan diri dan mengawal diri setiap kali mereka ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2020.

Terdapat lebih daripada 100,000 anggota polis di negara ini.

Sejak akhir Februari, polis, tentera dan agensi keselamatan lain ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dan sekatan jalan untuk mengawasi pergerakan orang ramai.

Pada Oktober saja, seramai 19 anggota polis dari Kuala Lumpur didapati positif Covid-19.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata semua 19 pegawai dan anggota polis berkenaan sudah sembuh.

“Saya bersyukur kerana semuanya sembuh. Kami juga melakukan ujian saringan dan syukur hasilnya kembali negatif,” katanya.

Saiful Azly juga memberi jaminan semua pegawai dan anggota itu masih optimis dan bersemangat tinggi untuk menjalankan tugas masing-masing.

“Kami berada di barisan depan, kami di sini untuk memastikan semua orang awam selamat. Walaupun bimbang, mereka komited demi rakyat.

“Kami selalu mengingatkan orang ramai untuk memakai topeng muka dan membersihkan diri secara berkala. Kami mengambil tindakan terhadap individu yang tidak peduli untuk patuh pada undang-undang kerana kami ingin memberi mereka pengajaran atas kecuaian yang boleh membahayakan orang lain,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pegawai polis yang ditemui di sekatan jalan raya memberitahu The Malaysian Insight orang ramai lebih sedar dan bimbangkan keselamatan mereka daripada sebelum ini.

Namun, mereka menyatakan kekesalan terhadap lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini.

“Jika pada peringkat awal, masih banyak yang mengambil mudah tetapi sekarang mereka mengikut SOP. Majoriti dari mereka patuh pada undang-undang sekarang.

“Jumlahnya menurun beberapa bulan yang lalu, tetapi mungkin kita semua menganggapnya tidak lama dan tiba-tiba ada peningkatan kes.

“Sudah tentu ada pihak tertentu yang harus disalahkan, dan sekarang semua orang menerima impak. Perniagaan, pendidikan, pekerjaan dan banyak sektor lain terkena tempiasnya,” kata seorang pegawai berpangkat inspektor yang enggan mendedahkan identitinya.

Beliau menambah pegawai polis sering diingatkan untuk memberi keutamaan kepada keselamatan diri masing-masing.

“Kami diingatkan setiap hari untuk memakai alat pelindung dan membersihkan diri secara teratur. Tentu saja kami bimbang tetapi jika kami mengikuti SOP, tidak akan ada masalah. Insya Allah.”

Sudah lapan bulan sejak penularan wabak itu dan angka kematian di negara ini sudah mencecah 246 manakala 19,775 pesakit pulih daripada keseluruhan 30,090 kes.

Sabah terus mendahului dalam jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, dan Negeri Sembilan. – 30 Oktober, 2020.

Iklan
Iklan