Iklan

Nazri perlu berhenti berbohong mengenai IMAMS

Yasmin Ramlan7 years ago18th Dec 2017Berita
Nazri aziz 291015 tmiseth 01
Pemimpin pembangkang menganggap kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sistem pengendalian proses visa untuk jemaah umrah dibatalkan kerana seseorang dalam kementeriannya salah faham dengan visi dan apa yang ingin laksanakan hanya alasan yang direka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2017.
Iklan

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Abdul Aziz perlu bertanggungjawab terhadap kesilapan bodohnya mengenai Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah (IMAMS) dan bukan menyalahkan pegawai kementeriannya.

Apatah lagi, apabila jawapan parlimennya sendiri menunjukkan beliau mengetahui dengan jelas komponen RM90.10 termasuk GST, kata ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata kenyataan Nazri pada Sabtu yang menyalahkan pegawai kementeriannya atas salah faham yang berlaku dalam pelaksanaan IMAMS sehingga ia terpaksa dibatalkan hanyalah alasan yang terpaksa direka.

“Nazri berada di luar negara. Beliau tidak sempat memeriksa hansard. Maka apabila ingin memberi alasan kenapa sistem yang dilancarkan baru sehari dibatalkan dengan begitu sahaja, beliau tidak  dapat menentukan alasan yang tidak bercanggah dengan apa yang dinyatakan sendiri dalam Parlimen.

“Hakikatnya, alasan terpaksa direka adalah bukti yang ia dibatalkan kerana tekanan daripada pelbagai pihak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Nazri, semasa lawatan kerjanya ke Jerman, berkata sistem pengendalian proses visa untuk jemaah umrah dibatalkan kerana seseorang dalam kementeriannya salah faham dengan visi dan apa yang beliau mahu laksanakan.

Bagaimanapun, jawapannya di Dewan Rakyat pada 13 November menunjukkan ahli Parlimen Padang Rengas itu mengetahui bayaran IMAMS termasuk GST.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang (PAS) Siti Zailah Mohd Yusoff yang bertanyakan mengenai kos perlu dibayar oleh jemaah umrah kepada IMAMS.

“Saya nasihatkan Nazri supaya jangan biasakan diri mereka-reka cerita seperti presiden partinya (Najib Razak) dengan kisah sumbangan Arab Saudi dan sebagainya kerana ia akan menyerlahkan yang beliau hanya menipu,” kata pengarah komunikasi Amanah itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yang terkejut dengan kenyataan Nazri menasihatinya agar tidak mengikuti jejak langkah Najib dengan mengambil jalan mudah dan menyalahkan orang lain.

“Saya percaya dalam hansard itu Nazri bercakap dengan penuh sedar dan saya percaya kenyataan Nazri itu adalah kenyataan yang dipersetujui oleh seluruh Kabinet untuk melaksanakan hal sedemikian rupa,” katanya.

Mahfuz berkata beliau yakin pelaksanaan IMAMS sudah dikemukakan dalam Kabinet dan diluluskan kerana Nazri yakin dengan jawapannya kepada Zailah semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Saya nasihatkan Nazri supaya bertenang menghadapi politik selamatkan diri Najib ini daripada kemarahan rakyat, tapi janganlah sampai Nazri menyalahkan pegawai-pegawainya pula. Sebab Nazri sendiri sudah menjawab jdi Parlimen.

“Najib mengambil jalan selamat. Beliau sepatutnya bercakap tidak bersetuju sebelum pelaksanaan sistem IMAMS, bukannya semalam. Tetapi malangnya beliau sejak awal mengetahui tentang perkara ini,” katanya.

Najib pada Sabtu turut menyatakan tidak setuju dengan pelaksanaan sistem tersebut di laman Twitter beliau.

Sistem itu dibatalkan semalam selepas ia mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas sehari kementerian mengumumkan program tersebut.

Seorang lagi pemimpin pembangkang, Idris Ahmad berkata Nazri perlu mengatakan kebenaran dan tidak menyalahkan orang lain.

“Kita harap semua menteri di Malaysia bercakap jujur. Kalau dah salah, cakap salah, kalau sudah kata (cakap) tersilap, cakap tersilap. Jangan asyik kata ini (bukan) arahan,” katanya.

Beliau berkata pegawai tidak akan memutuskan perkara seperti ini tanpa kelulusan menteri.

Idris, yang juga naib presiden PAS dan ahli Parlimen Bukit Gantang, berkata pembatalan itu bersifat politik.

“Saya yakin apa yang beliau buat ini adalah kenyataan menghadapi pilihan raya,” katanya.

Khalid juga membuat kesimpulan yang sama bahawa pembatalan mendadak dilakukan oleh Nazri selepas menyedari partinya memerlukan undi daripada orang Melayu untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

“Nazri mungkin baru teringat yang undi Melayu penting dalam pilihan raya umum ini dan adalah tidak bijak jika caj ini dikenakan sekarang,” katanya.

IMAMS dilancarkan untuk melindungi jemaah daripada ditipu.

Bagaimanapun, banyak pihak mempersoalkan mengapa syarikat yang mengendalikannya diuruskan bukan Islam dan kos tambahan sebanyak RM90.10, termasuk GST.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang berada di Parlimen ketika Nazri menjawab soalan mengenai IMAMS, berkata isu salah faham seharusnya tidak timbul.

“Penjelasan tentang IMAMS telah dijelaskan oleh menteri dalam ucapan penggulungan perbahasan bajet. Saya terlibat dalam pencelahan tersebut.

“Maka bagi saya, tidak timbul salah faham pegawai. Apa yang jelas, tekanan oleh rakyat  terhadap IMAMS adalah kerana dua isu yang benar-benar menekan kementerian; isu cukai GST dalam ibadah dan penglibatan bukan Islam dalam urusan ibadah orang Islam,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Nazri yang sistem itu tidak bertujuan menghasilkan keuntungan.

“Tugasan penyelarasan visa umrah boleh sahaja dibuat menerusi Tabung Haji sebagai agensi milik rakyat berbanding syarikat milik individu.”

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melihat kes ini.

“Saya mendesak supaya ketua pesuruhajaya SPRM menyiasat perkara ini kerana ia bertentangan dengan sistem tatakelola kerjaan dan mungkin juga ada perkara tidak kena terutamanya apabila kenyataan-kenyataan yang berbeza kita dapat daripada tonggak kementerian.”

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, IMAMS dibatalkan kerana bantahan.

Sistem itu juga tidak selaras dengan apa yang dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet, katanya. – 18 Disember, 2017.

Iklan
Iklan