Pulihkan ekonomi dengan eksport, bukan projek mega, kata pakar ekonomi
Iklan
PUTRAJAYA perlu menangguhkan projek infrastruktur mega dan fokus kepada memacu kepenggunaan eksport dan domestik serta kuasa membeli bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi, kata pakar ekonomi.
Walaupun desakan untuk membekukan projek infrastruktur besar itu bercanggah dengan gesaan sektor pembinaan yang percaya projek besar akan menggandakan impak, pakar ekonomi Hoo Kee Ping berkata ia tidak membawa kesan sedemikian dalam projek di mana pekerja dan bahannya kebanyakan dari negara luar.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) contohnya, Hoo berkata memandangkan kebanyakan pekerja dan bahan diambil dari China, hanya 20% hingga 30% kosnya dibelanjakan di Malaysia.
“Mungkin dulu ECRL ada kelebihan. Sekarang, ia mungkin beri kesan negatif kerana kebanyakan sumber diimport.”
Oleh itu, Hoo berkata lebih baik ialah memperkasakan kumpulan berpendapatan rendah dengan lebih banyak wang untuk memenuhi keperluan harian dan bersedia untuk sebarang ketidaktentuan.
Dengan Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 November ini, Hoo menjangkakan Putrajaya akan terus memberikan bantuan kewangan, yang akan memberi kesan berganda lebih kuat dan lebih langsung terhadap ekonomi, berbanding membenarkan projek infrastruktur berskala besar diteruskan.
Profesor Madya Wong Chin-Yoong dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata bergantung kepada projek mega untuk memacu pemulihan ekonomi bukan langkah bijak.
Selepas projek diumumkan, mereka tidak boleh bermula serta-merta kerana pandemik, dan ia akan mengambil masa lebih panjang untuk manfaatnya dirasai, katanya.
Wong berkata kerajaan perlu jelas menyatakan hala tuju masa depan ekonomi negara dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Katanya, dalam keadaan pandemik seperti ini, aktiviti seperti penyelidikan dan pembangunan dan teknologi lebih bernilai berbanding aset ketara seperti bangunan dan jalan raya.
Kerajaan sepatutnya beri lebih perhatian kepada bidang berkenaan untuk mendapatkan nilainya, kata Wong.
“Kalau kita hendak berubah, kita perlu ambil jalan ini.
“Jika projek infrastruktur dipilih untuk pacu ekonomi, maka situasi pandemik perlu diambil kira kerana pembinaan adalah industri intensif sumber manusia.”
Fokus pada eksport
Hoo berkata kerajaan patut fokus kepada rangsangan eksport kerana harga komoditi seperti minyal kelapa sawit dan getah pada masa ini menguntungkan, selain produk elektronik dan elektrik.
Meningkatkan eksport adalah langkah lebih sesuai kerana sektor domestik seperti hartanah dan indudstri automotif masih lemah, katanya.
Eksport barangan tertentu juga boleh menampung ekonomi keseluruhan daripada terjejas teruk akibat sektor tertentu, contohnya pelancongan.
“Keuntungan yang direkodkan oleh pembuat sarung tangan boleh menampung kerugian dalam industri pelancongan.
“Masa paling teruk biasanya jadi masa terbaik, kerana rekod pendapatan industrri sarung tangan mengimbangkan kerugian daripada pelancongan.”
Hoo berkata sebagai ekonomi perdagangan, Malaysia perlu fokus kepada mempromosikan eksport kerana ia terbukti berjaya pada krisis ekonomi sebelum ini seperti Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Dunia 2008.
Eksport pada masa itu menjadi kuasa pemacu utama untuk pemulihan ekonomi Malaysia, kerana ia tidak menurun walaupun ringgit susut nilai pada 1998, dan jumlah pengangguran besar pada 2008.
“Negara kita negara perdagangan dan jumlah keseluruhan import dan eksport ialah dua kali ganda daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” kata Hoo. – 31 Oktober, 2020.